Anda Hebat Dalam Gran Turismo? Sertai Piala Asia Michelin
Michelin menjemput para peminat permainan video lumba kereta bagi merebut peluang untuk mewakili Malaysia di Piala Asia Michelin Dikuasakan oleh Gran Turismo.
Acara tahunan ini akan menyaksikan para ‘gamer’ dari Malaysia bertanding dengan peserta-peserta lain dari Thailand, Indonesia, dan Australia untuk menjulang piala ini.
Hadiah Utama berupa pakej perjalanan Michelin Passion Experience (MPE) yang bakal diadakan pada tahun ini di Litar Yas Marina yang terletak di Abu Dhabi, Emiriah Arab Bersatu. Naib johan akan membawa pulang satu set tayar Michelin; manakala pemenang tempat ketiga akan dihadiahkan kad bahan api bernilai lebih daripada RM1,500.
Pendaftaran bagi pusingan kelayakan akan dibuka mulai hari ini sehingga 8 Julai 2022. Setiap seorang daripada 500 peserta berdaftar yang pertama di Malaysia akan menerima hadiah berupa barangan Michelin yang eksklusif.
Piala Asia Michelin Dikuasakan oleh Gran Turismo menggunakan platform Gran Turismo di PlayStation 4. Peserta berdaftar dikehendaki untuk menghantar catatan masa terbaik mereka bagi Pusingan Kelayakan dari 11 hingga 15 Julai 2022.
Enam peserta dengan catatan masa terbaik akan diumumkan pada 20 Julai 2022 untuk mewakili Malaysia dalam pusingan Separuh Akhir. Mereka akan berlumba dengan enam wakil peserta terbaik dari tiga lagi negara lain yang mengambil bahagian.
Pusingan itu akan menyaksikan 24 peserta (enam pemain dari setiap negara: Thailand, Malaysia, Indonesia dan Australia) dibahagikan kepada dua kumpulan. Enam pemain terpantas dalam setiap kumpulan akan mara ke Pusingan Akhir, yang akan disiarkan secara langsung pada 26 Ogos 2022 bermula jam 8 malam (Malaysia), melalui akaun Facebook rasmi Michelin Malaysia dan saluran rasmi yang lain.
No Comment