Bas Ekspres Rempuh Penghadang Tol, Empat Cedera
Sebuah bas ekspres yang dalam perjalanan dari arah utara terlibat dalam kemalangan di Plaza Tol Ipoh Utara, Lebuhraya Utara-Selatan di Ipoh pada Isnin, 20 Jun 2022.
Dalam insiden itu, bas ekspres tersebut merempuh penghadang pondok tol di plaza tol tersebut, mengakibatkan empat penumpang mengalami kecederaan. Bas tersebut dilaporkan membawa 16 orang penumpang ketika kejadian itu.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perak, jabatan itu menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 3.08 petang.
Sepasukan anggota bomba dari Meru Raya, yang turut dibantu oleh anggota dari balai Ipoh, dikejarkan ke tempat kejadian. Tiada kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan itu. Melihat kepada gambar-gambar yang tular di media sosial, impak pelanggaran itu menyebabkan kerosakan teruk pada cermin penghadang angin dan bahagian kiri depan bas tersebut.
Mangsa yang tercedera dikejarkan ke Hospital Raja Permaisuri untuk rawatan lanjut namun keadaan pemandu bas masih tidak dapat dipastikan. Operasi berakhir pada jam 4.18 petang.
No Comment