BMW X5 xDrive45e M Sport Ditambah Baik Dengan Ciri Baharu
Dilancarkan buat pertama kali pada Jun 2020, BMW X5 xDrive45e M Sport versi pemasangan tempatan kini hadir dengan beberapa kelengkapan baharu yang menyerlahkan lagi penampilannya, serta meningkatkan lagi ciri keselamatannya.
Pertama sekali, kenderaan jenis Sports Activity Vehicle (SAV) itu kini dilengkapi dengan BMW Laserlight yang mempunyai keupayaan pencahayaan yang lebih luas, sekaligus meningkatkan daya kebolehlihatan di atas jalan raya.
Lampu itu juga dilengkapi dengan ciri BMW Selective Beam dengan modul-modul lampu puncak laser yang mampu memancarkan cahaya yang lebih terang berbanding lampu dwi-LED.
Untuk ciri keselamatan pula, BMW Malaysia menyertakan ciri Perlindungan Aktif (Active Protection) yang bertindak untuk menutup tingkap serta bumbung matahari secara automatik sebagai persediaan untuk menghadapi pelanggaran.
Selain itu, kehadiran ciri berkenaan menyaksikan penambahan dua lagi beg udara pada barisan kedua, menjadikan jumlah keseluruhan beg udara di dalam model tersebut sebanyak lapan unit.
Akhir sekali, penggayaan X5 xDrive45e M Sport diperhebatkan lagi dengan roda aloi 741M bersaiz 21 inci dalam warna Orbit Grey. Seperti sebelum ini, model yang diberi jolokan The Boss itu kekal dengan ciri-ciri seperti Live Cockpit Professional, Driving Assistant, Parking Assistant Plus, Rear Seat Entertainment, serta upholsteri kulit Vernasca tulen.
X5 xDrive45e M Sport versi 2022 dijual pada harga RM457,498.37 atas jalan (termasuk SST), tanpa insurans. Harga tersebut juga merangkumi waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun, bantuan tepi jalan serta pakej servis dan pembaikan BMW.
No Comment