Daihatsu Gran Max Dipertingkatkan Untuk 2022
Daihatsu Malaysia telah melancarkan Daihatsu Gran Max Minor Change (MC) 2022 yang tampil dengan beberapa penambahbaikan dari segi kelengkapan. Model ini dijual pada harga bermula dari RM73,888.
Untuk tahun 2022, van panel ini mendapat sistem infohibur baharu yang merangkumi skrin sentuh berukuran tujuh inci dengan sistem operasi Android 10.0, serta pemain utama 2-DIN dengan radio, pemain MP3, AUX dan port USB.
Selain itu, pemandu juga boleh menghubungkan telefon pintar mereka ke sistem infohibur kenderaan menerusi Bluetooth atau iOS Phonelink. Dengan cara ini, sistem navigasi GPS daripada telefon boleh dipaparkan pada skrin sentuh tersebut bagi memudahkan lagi urusan.
Turut disertakan adalah port pengecas pantas USB 12v-24v yang amat berguna untuk syarikat-syarikat logistik dan penghantaran kerana ia akan memastikan bateri peranti sentiasa mencukupi terutamanya untuk perjalanan jarak jauh.
Sistem keselamatan Gran Max juga dipertingkatkan menerusi kehadiran kamera undur baharu yang dapat mengurangkan risiko kemalangan kecil atau perlanggaran, lebih-lebih lagi apabila mengundur di kawasan-kawasan sempit. Model baharu ini turut dilengkapi dengan tingkap kuasa pada sebelah pemandu dan penumpang.
Seperti sebelum ini, Gran Max dikuasakan oleh enjin petrol 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 95 hp pada 6,000 rpm dan 134 Nm pada 4,400 rpm, dengan pilihan transmisi automatik atau manual.
No Comment