Honda Motorcycle Thailand Jalin Usaha Sama Dengan Foodpanda
Honda Motorcycle Thailand (Thai Honda Co., Ltd.) mengumumkan kerjasama mereka dengan platform penghantaran makanan terkemuka, Foodpanda bagi membangunkan ekosistem EV dalam perniagaan penghantaran makanan di negara itu.
Menerusi usaha sama strategik ini, Foodpanda akan menerima 20 unit skuter elektrik Honda Benly e: daripada Honda Motorcycle Thailand yang akan digunakan untuk tugas menghantar makanan dan barangan runcit di Bangkok.
Bagi memastikan para rider Foodpanda dapat menjalankan tugas mereka tanpa perlu risau tentang bateri dan jarak tunggangan, Honda Motorcycle Thailand turut membina 14 stesen penukaran bateri di sekitar bandar itu.
Bagaimanapun, tidak jelas sama ada stesen itu dibina oleh syarikat itu sendiri atau disediakan oleh pembekal seperti Gogoro.
Shigeto Kimura, pengerusi Thai Honda Co., Ltd. berkata usaha sama dengan Foodpanda ini adalah sejajar dengan visi Honda untuk mengurangkan tahap pelepasan karbon dan mewujudkan masyarakat urban yang mampan.
“Sebagai peneraju industri motosikal Thailand, kami mementingkan teknologi kenderaan elektrik. Bermula dengan pembangunan ekosistem EV di Thailand menerusi penyelidikan dengan pelbagai institusi awam dan swasta, kali ini, Honda telah bekerjasama dengan syarikat penghantaran makanan terkemuka seperti Foodpanda yang juga merupakan satu langkah yang penting,” tambah beliau.
Dilancarkan di Jepun pada April 2020, Benly e: dikuasakan oleh dua pek bateri lithium-ion Honda Mobile Power Pack (MPP) yang boleh dicabut dan ditukar dengan mudah. Bergantung kepada varian, skuter elektrik ini menawarkan jarak tunggangan sehingga 87 km dengan satu cas penuh.
No Comment