Jualan Terlalu Laku, Pesanan Volvo XC40 Recharge Ditutup
Volvo Car Malaysia menerima sambutan yang menggalakkan untuk kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama dari jenama itu iaitu XC40 Recharge Pure Electric.
Sejak dilancarkan pada bulan Mac 2022 di Malaysia, syarikat itu telah menerima lebih 400 tempahan sehingga kini dan telah menyerahkan lebih 120 unit kepada pemiliknya di seluruh negara.
Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, berkata: “Jumlah jualan yang menggalakkan menjadi batu loncatan dalam perjalanan kami ke arah elektrik sepenuhnya. Hanya beberapa bulan yang lalu kami melancarkan kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama dan mengumumkan pemasangan kereta EV tempatan.
Kami mula menghantar kereta-kereta elektrik kepada para pelanggan sejak bulan April di mana mereka boleh menikmati kebebasan untuk bergerak untuk bergerak secara peribadi, mampan dan selamat.”
Volvo Car Malaysia turut mengumumkan bahawa disebabkan oleh permintaan yang tinggi, permintaan untuk pesanan secara dalam talian untuk XC40 Recharge Pure Electric model tahun 2022 kini ditutup. Pesanan akan diambil semula selepas pengenalan model tahun 2023. Butiran lanjut akan diumumkan tidak lama lagi.
XC40 Recharge Pure Electric menampilkan penjana kuasa pacuan semua roda elektrik sepenuhnya yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 418 km dan boleh didapati dalam lima pilihan warna – Black Stone, Crystal White Pearl, Denim Blue, Glacier Silver dan Sage Green. Mereka yang berminat boleh menempah pandu uji melalui www.volvocars.com/my atau menghubungi mana-mana pengedar sah Volvo.
No Comment