Berita Auto

Mercedes-AMG A 35, GLA 35 Kini Dipasang Secara Tempatan

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini melancarkan dua model pemasangan tempatan iaitu Mercedes-AMG A 35 4Matic dan GLA 35 4Matic, dalam usaha mereka untuk mengukuhkan kedudukan dalam pasaran mewah di negara ini.

Harga jualan A35 4Matic bermula dari RM325,090, manakala GLA 35 4Matic pula berharga RM345,048. Harga-harga yang disebutkan ini adalah dengan pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) sehingga 30 Jun ini. Bermula 1 Julai, harga tersebut akan meningkat kepada RM343,888 untuk A 35 dan RM363,888.

Dari segi prestasi, kedua-dua model tersebut masih kekal dengan enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 306 hp pada 5,600 rpm dan 400 Nm dari 3,000 hingga 4,000 rpm. Dengan transmisi AMG Speedshift tujuh kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic, A 35 boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.8 saat manakala GLA 35 5.2 saat. Kelajuan maksimum pula adalah 250 km/j bagi kedua-dua model.

Untuk kelengkapan pula, model-model CKD ini mendapat beberapa ciri baharu seperti Parking Package dengan kamera 360 darjah, butang pemilih mod pemanduan stereng, paparan head-up, Keyless-Go Comfort Package dan Hands-Free Access, antara lainnya.

Sistem keselamatan turut dipertingkatkan dengan kehadiran ciri-ciri seperti Easy-Pack Tailgate, Urban Guard dengan sistem penggera anti-kecurian, serta sistem pemantauan ruang dalaman yang boleh diakses menerusi aplikasi Mercedes me. Turut disertakan adalah beg udara lutut, penunjuk status tali pinggang keledar belakang, serta sistem pemantauan tekanan tayar dengan Tirefit.

Sistem audio Burmester turut tersedia, bersama modul komunikasi LTE untuk penggunaan perkhidmatan perhubungan Mercedes me yang juga merangkumi sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz.

Sebagai model AMG, kedua-dua A 35 dan GLA 35 dilengkapi dengan kit badan AMG yang agresif namun model sedan itu mempunyai rim berukuran 19 inci, manakala crossover itu pula dilengkapi dengan rim 20 inci. Lampu depan pula adalah jenis Multibeam LED dengan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Di dalam, ruang kabin menampilkan tempat duduk sport dengan balutan upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Dinamika, trim kelabu/hitam aluminium AMG Design dan stereng AMG Performance. Sistem infohibur pula merangkumi sistem MBUX dengan dua skrin 10.25 inci dan sistem audio Burmester.

Sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna turut tersedia, begitu juga dengan sistem komunikasi LTE. Ia membolehkan pemandu menggunakan perkhidmatan perhubungan Mercedes me yang juga merangkumi sistem panggilan kecemasan Mercedes-Benz.

Previous post

Mazda CX-8 Dikemas Kini Untuk Menampilkan Enjin Petrol 2.5 Turbo

Next post

Jaguar F-Pace R-Dynamic P-250 Dilancarkan Di Malaysia

Amirul Mukminin

Amirul Mukminin

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *