Moto Guzzi V7 Stone Dilancarkan Di Malaysia – RM62,900
Didi Group, selaku pengedar rasmi motosikal jenama Moto Guzzi di Malaysia, baru-baru ini mempertontonkan Moto Guzzi V7 Stone di Dewan Merdeka WTCKL bersempena dengan Konsert Dato M. Nasir yang diadakan di sana.
V7 Stone dikuasakan oleh enjin V-twin bersesaran 850 cc yang hampir sama dengan enjin pada model V85 TT. Menurut Moto Guzzi, enjin ini menghasilkan 65 hp pada 6,800 rpm, menunjukkan peningkatan sebanyak 25% berbanding versi terdahulu yang menghasilkan 52 hp pada 6,200 rpm.
Bukan itu sahaja, tork turut meningkat dari 60 Nm sebelum ini kepada 73 Nm pada 5,000 rpm. 80% daripada jumlah yang dihasilkan itu tersedia seawal 3,000 rpm.
Berbanding dengan versi sebelum ini, penawaran terbaharu dari Mandello ini didatangkan dengan lebih banyak kelengkapan. Ini termasuk pacuan akhir cardan yang lebih besar, tayar belakang yang lebih lebar bersaiz 150/70 dan juga penyerap hentak Kayaba.
Bukan itu sahaja, penampilan model ini juga dinaik taraf menerusi panel sisi baharu, mudguard belakang yang lebih pendek dan juga sistem ekzos baharu. Turut disertakan adalah pelana jenis dua peringkat yang dikatakan lebih selesa, lampu LED dengan DRL berbentuk helang Moto Guzzi, kluster instrumen bulat dan juga rim aluminium baharu.
Moto Guzzi V7 Stone dijual pada harga RM62,900 dan ia kini tersedia menerusi wakil pengedar Moto Guzzi yang bertauliah di seluruh negara.
No Comment