Pandu Uji: Peugeot 2008 1.2L PureTech Allure
Rasanya adil jika dikatakan bahawa jenama Peugeot mempunyai reputasi yang kurang baik di Malaysia disebabkan masalah-masalah berkaitan kualiti dan selepas jualan. Bagaimanapun, kehadiran Bermaz Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) sebagai pengedar rasmi baharu dilihat memberikan ‘sinar baharu’ kepada jenama Perancis itu.
Model pertama yang dilancarkan di bawah BAASB adalah Peugeot 2008, sebuah crossover kompak bergaya yang akan bersaing dengan model-model seperti Proton X50, Honda HR-V dan Mazda CX-3. Bolehkah model ini menjadi tunjang kebangkitan semula Peugeot di negara ini?
Jawapan ringkasnya, mungkin tidak. Ini kerana untuk menyaingi X50 dan HR-V bukanlah sesuatu yang mudah kerana kedua-dua model ini mempunyai banyak kelebihan, di samping dihasilkan oleh jenama yang lebih kukuh kedudukannya di negara ini. Bagaimanapun, ini tidak bermakna 2008 tidak mempunyai kekuatannya yang tersendiri.
Dengan lambakan crossover berjenama Proton dan Honda di jalan raya ketika ini, pastinya ada di antara anda yang mahu tampil lebih menonjol dan lain dari yang lain. Untuk golongan ini, 2008 boleh dikatakan pilihan yang tepat kerana reka bentuk luarannya bukan sahaja unik, malah bercita rasa Eropah, sekaligus membuatkannya kelihatan lebih premium.
Bagi penulis, ciri yang paling menonjol pada model ini sudah tentu lampu nyalaan siang menegak pada bahagian bampar yang kelihatan seperti taring. Selain itu, efek cakaran 3D pada lampu depan dan lampu belakang juga sangat menarik dan bersesuaian dengan logo singa jenama ini. Tiang belakang berwarna hitam pula memberikan ilusi bumbung terapung.
Masuk ke bahagian dalam, anda akan menemui rekaan kabin dengan suasana yang eksklusif dengan suntikan elemen sporty iaitu stereng berdiameter kecil yang berbentuk hampir petak dan juga kemasan ala gentian karbon yang menghiasi panel pintu dan papan pemuka.
Turut menyerlahkan lagi suasana di dalam kabin adalah suis kawalan seperti kekunci piano yang terasa solid apabila ditekan dan juga sistem pencahayaan ambien berwarna biru. Kualiti enam pembesar suara juga tidak kurang hebatnya.
Untuk hiburan, anda mendapat Apple CarPlay dan Android Auto yang boleh diakses menerusi skrin sentuh berukuran tujuh inci, yang turut memaparkan pandangan daripada kamera undur. Sebuah kluster instrumen dengan efek grafik 3D berukuran 10 inci turut tersedia.
Grafik sistem infohibur ini memang nampak cantik pada pandangan tetapi malangnya skrin sentuh itu sendiri tidak begitu lancar untuk digunakan. Perkara yang sama juga boleh dikatakan tentang kluster instrumen tersebut. Terdapat beberapa pilihan susun atur grafik yang boleh dipilih namun untuk menukarnya agak memakan masa kerana masalah ‘lagging’ yang ketara.
Satu lagi perkara yang agak mengecewakan penulis adalah kawalan sistem pendingin hawa kenderaan ini hanya boleh dilakukan menerusi skrin berkenaan. Ini bermakna anda perlu memberikan perhatian yang lebih untuk menurunkan atau menaikkan suhu dan kelajuan ‘blower’ ketika memandu. Jika ada butang fizikal, sudah pasti pengalaman memandu akan menjadi lebih lancar.
2008 bukanlah model yang terbesar dalam segmennya namun pada hemat penulis, ia cukup selesa untuk pasangan muda atau mereka yang mempunyai keluarga kecil. Ruang kaki tempat duduk belakang tidaklah terlalu kecil, manakala but berkapasiti 405 liter juga dirasakan untuk trip hujung minggu. Untuk perbandingan, ruang but X50 jauh lebih kecil iaitu 330 liter, manakala HR-V sedikit besar iaitu 437 liter.
Cuma, ketiadaan corong pendingin hawa belakang dilihat sebagai satu kehilangan besar untuk sebuah crossover kompak pada zaman kini. Saiz ruang penyimpanan pada pintu dan poket pada bahagian belakang kerusi depan juga kurang memuaskan.
Meskipun begitu, BAASB tidak kedekut menyertakan pelbagai jenis ciri keselamatan pada model ini. Selain enam beg udara, terdapat ciri-ciri bantuan yang menjadikan pemanduan seharian lebih mudah seperti High Beam Assist, Blind Spot Monitoring, Active Lane Keeping Assist, Driver Attention Warning dan Tyre Pressure Monitoring System.
Tidak dinafikan, 2008 mempunyai kelemahan dari segi praktikaliti dan teknologi tetapi kekurangan ini diseimbangkan dengan prestasi pemanduan yang mengagumkan. Biarpun mempunyai sesaran yang agak kecil iaitu 1.2 liter, enjin turbo tiga silinder PureTech itu terasa begitu bertenaga dan responsif walaupun pedal pendikit ditekan dengan cermat. Untuk pemanduan di dalam kawasan bandar, enjin ini ternyata boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekali.
Kadang-kala ia terasa agak kasar ketika bergerak pada kelajuan rendah dan berhenti di simpang lampu isyarat namun bagi penulis, prestasi pecutan yang ditunjukkan sudah memadai untuk menutup kelemahan itu. Bukan itu sahaja, transmisi automatik enam kelajuan yang digunakan terasa lebih lancar berbanding transmisi jenis DCT atau CVT ketika terperangkap di dalam trafik yang bergerak perlahan.
Satu perkara yang penulis tidak jangka apabila memandu 2008 adalah pengendaliannya yang mantap – sesuatu yang jarang diperkatakan mengenai crossover. Sterengnya terasa agak ringan namun apabila penulis mula memasuki selekoh dengan kelajuan yang lebih tinggi berbanding kebiasaan, casisnya mula menunjukkan kehebatannya dengan meminimumkan olengan badan dan bertindak balas dengan input stereng sehinggalah ke hujung selekoh.
Dengan kemantapan yang ditunjukkan ini, sudah tentu badan dan sistem suspensi 2008 agak keras jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya. Ini benar dan boleh dirasakan dengan jelas terutamanya apabila melalui jalan-jalan yang tidak rata dan berlubang. Biarpun begitu, gegaran tidaklah begitu teruk sehingga menyebabkan ketidak selesaan. Malah, ia sesuatu yang penulis boleh biasakan dalam masa yang singkat.
Secara konklusinya, dengan harga kurang RM130,000, 2008 adalah pilihan yang baik untuk mereka yang mahukan crossover kompak yang bergaya dengan prestasi yang baik. Penulis faham jika ada yang masih sangsi dengan jenama Perancis ini namun di bawah kendalian BAASB (yang merupakan anak Bermaz iaitu pengedar rasmi Mazda), pengalaman pemilikan pastinya lebih baik berbanding dahulu. Lagipun, model ini didatangkan dengan waranti selama lima tahun dan pakej servis tiga tahun.
Spesifikasi Peugeot 2008 1.2L PureTech Allure
Enjin: PureTech tiga silinder
Kapasiti: 1,199 cc
Kuasa: 230 hp @ 5,500 rpm
Tork: 203 Nm @ 1,750 rpm
Transmisi: automatik enam kelajuan
0-100 km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM126,753
No Comment