Proton X70 2022 Dilancarkan Dengan Enjin 1.5L TGDi
Seperti yang dijanjikan, Proton hari ini melancarkan X70 versi 2022 yang hadir dengan penggayaan lebih segar dan kelengkapan terkini. Bagaimanapun, perubahan terbesar yang dibawakan oleh model ini adalah penambahan pilihan enjin turbo 1.5-liter TGDi, di samping enjin 1.8-liter TGDi yang sedia ada.
Dibina di kilang Proton di Tanjung Malim, enjin tiga silinder itu mampu menghasilkan 177 PS dan 255 Nm, jumlah yang sama dengan X50 Flagship. Ia dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke roda depan atau keempat-empat roda, bergantung kepada varian.
Jika dibandingkan dengan enjin 1.8-liter TGDi, kuasa yang dihasilkan oleh enjin 1.5-liter TGDi itu lebih rendah sebanyak 7 PS dan 45 Nm menurut Proton, ia mencapai pengurangan sebanyak 7% dalam penggunaan bahan api pada kitaran bandar.
Dengan penawaran enjin ini, barisan X70 kini terdiri daripada lima varian seperti berikut:
Selain enjin baharu, X70 2022 turut tampil dengan rekaan yang lebih segar serta ciri yang dipertingkatkan untuk keselesaan pemandu. Ini termasuk kemasan hitam kuarza pada bampar depan dan belakang, roda aloi 19 inci baharu, tailgate berkuasa dengan sensor kaki dan tempat duduk kulit Nappa.
Pilihan warna untuk model yang diperbaharui ini terdiri daripada Snow White, Armour Silver, Jet Grey, Ruby Red, Cinnamon Brown dan Space Grey, juga bergantung kepada varian yang dipilih.
Selain itu, SUV itu juga mendapat Sistem Penulenan Udara Pintar (P-IAPS), gabungan penapis kabin N95 di dalam penghawa dingin dan sistem penulenan udara yang dikatakan dua kali lebih cekap dalam meningkatkan kualiti udara di dalam kabin.
Seperti sebelum ini, sistem infohibur merangkumi ciri arahan suara “Hi Proton”, sembilan pembesar suara lengkap dengan subwoofer dan enam port USB. Untuk sistem keselamatan, setiap varian didatangkan standard dengan enam beg udara, manakala Sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) hanya disertakan pada varian tertinggi iaitu Premium.
No Comment