Toyota GR86 Special Edition – 860 Unit Untuk Pasaran AS
Sedang kita masih menunggu kehadiran Toyota GR86 ke pasaran tempatan, Toyota nampaknya akan menawarkan model edisi khas kepada 860 pembeli bertuah di Amerika Syarikat.
Dikenali secara rasmi sebagai GR86 Special Edition, model ini ditampilkan dalam satu pilihan warna sahaja iaitu Solar Shift. Warna eksklusif itu dipadankan dengan jalur berwarna hitam pada tiang C, spoiler pada bahagian but dan juga rim aloi 18 inci berwarna hitam matte.
GR86 Special Edition adalah berasaskan varian Premium, bermakna ia dilengkapi dengan tayar Michelin Pilot Sport 4, fungsi pemanas pada tempat duduk depan dan sistem audio dengan lapan pembesar.
Ciri-ciri berkenaan adalah tambahan kepada ciri-ciri yang disertakan secara standard pada GR86 seperti sistem pendingin hawa automatik dwi-zon dan skrin sentuh berukuran lapan inci.
Entah mengapa, gambar ruang dalaman tidak disiarkan namun menurut Toyota, model ini didatangkan dengan upholsteri Ultrasuede/kulit dan lencana GR edisi khas.
Sayangnya, tiada sebarang naik taraf prestasi diberikan kepada GR86 Special Edition. Sama seperti versi standard, ia dikuasakan oleh enjin NA 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 228 hp (235 PS) pada 7,000 rpm dan 250 Nm pada 3,700 rpm.
Menurut syarikat itu, pecutan 0-96 km/j mengambil masa 6.1 saat untuk versi manual dan 6.6 saat untuk versi automatik ECT-i. Untuk perbandingan, model terdahulu yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter memerlukan tujuh saat untuk manual atau lapan saat untuk automatik.
Harga tidak dinyatakan namun sudah pastinya model ini lebih mahal jika dibandingkan dengan harga asal GR86 Premium iaitu $30,300 (RM133,060).
No Comment