VOTY / Anugerah / Pameran Motor

VOTY 2022 // Executive Sedan Of The Year – Mercedes-Benz C-Class

Anugerah Vehicle Of The Year (VOTY) 2022

C-Class merupakan siri model Mercedes-Benz yang paling laris sejak 10 tahun lalu, jadi tidak hairanlah jika ekspektasi untuk model generasi baharu ini agak tinggi. Dilancarkan di Malaysia pada Februari 2022, sedan eksekutif ini hadir dalam dua varian (C200 Avantgarde Line dan C300 AMG Line) dengan kelengkapan terbaik bagi merapatkan jurangnya dengan S-Class.

Seperti model-model saloon Mercedes-Benz yang lain iaitu E-Class dan S-Class, rekaan luarannya mungkin tidak begitu menonjol namun masuk ke dalam, anda akan memahami kenapa jenama Jerman ini menjadi idaman ramai. Tarikan utama di sini adalah paparan menegak berukuran 12.3 inci yang memberikan akses kepada sistem infohibur MBUX generasi terkini.

Mercedes-Benz-C-Class-2022-side-view-5.0

Dari segi prestasi, gabungan enjin turbo 1.5-liter dan sistem hibrid ringkas dengan Integrated Starter Generator (ISG) memberikan C200 pemanduan yang lancar, terutamanya ketika kereta baru mula bergerak. Ia juga membolehkan kereta ini meluncur (cruising) di jalan raya dengan enjin dimatikan, sekaligus membantu meningkatkan kecekapan bahan api.

C200 dikuasakan oleh enjin turbo 1.5-liter empat silinder yang dipadankan dengan Integrated Starter-Generator (ISG) 48 volt yang bertindak sebagai hibrid ringkas bagi membantu pecutan pada kelajuan rendah, serta memberikan fungsi seperti meluncur dan pemulihan tenaga untuk menjimatkan bahan api.

Enjin tersebut menghasilkan 204 PS dari 5,800 hingga 6,100 rpm dan 300 Nm dari 1,800 hingga 4,000 rpm, manakala ISG membekalkan kuasa tambahan sebanyak 20 PS dan 200 Nm. Dengan transmisi 9G-Tronic, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 246 km/j.

Mercedes-Benz-C-Class-2022-side 1.0

Sementara itu, C300 yang mempunyai enjin turbo 2.0-liter empat silinder turut digandingkan dengan ISG dan transmisi yang sama. Dengan 258 PS pada 5,800 rpm dan 400 Nm dari 2,000 hingga 3,200 rpm, ia memerlukan enam saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Kelajuan maksimumnya adalah 250 km/j.

Dari segi keselamatan pula, kedua-dua varian mendapat Lane Tracking, Active Blind Spot Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Brake Assist, Urban Guard, Active Parking Assist dengan Parktronic, Pedestrian Protection dan pelbagai lagi. Namun, untuk Parking Package, C300 diberikan kamera 360 darjah manakala C200 hanya mendapat kamera undur.

Harga (OTR tanpa insurans) bermula dari RM288,334 untuk C200 Avantgarde Line dan RM330,681 untuk C300 AMG Line.

Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):

Proses kami mudah dan telus.

Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2021 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.

Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.

Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.

Previous post

VOTY 2022 // Performance Crossover Of The Year – Lexus NX 350 F-Sport

Next post

VOTY 2022 // Compact Car Of The Year – Perodua Myvi

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *