VOTY 2022 // Luxury SUV Of The Year – Land Rover Defender 110 P400
Anugerah Vehicle Of The Year (VOTY) 2022
Sebut sahaja nama Land Rover Defender, anda pasti terbayangkan SUV yang gagah dan lasak berlatarbelakangkan hutan belantara atau gunung berbatu. Benar, Defender sememangnya dibangunkan untuk menawan apa jua bentuk muka bumi namun untuk model generasi baharu ini, Land Rover telah menyuntik elemen mewah.
Apa yang mewah mengenai Defender 110 P400 ini? Bentuk luarannya, walaupun sudah moden, mungkin tidak nampak premium seperti model-model lain dari BMW atau Mercedes-Benz namun masuk ke dalam, anda akan disambut dengan upholsteri kulit lembut dan pelbagai kelengkapan canggih seperti kluster instrumen digital dan sistem audio Meridian.
Biarpun begitu, model generasi baharu ini masih mengekalkan rasa ‘rugged’ versi asal yang membuatkan nama Defender disanjung di kalangan penggemar off-road. Malah, dengan kehadiran Terrain Response yang menyediakan pelbagai mod pemanduan, tidak mustahil jika ia lebih hebat berbanding Defender yang asal.
Untuk pasaran Malaysia buat masa ini, SUV off-road didatangkan dalam versi 110 (lima pintu) dengan konfigurasi lima atau tujuh tempat duduk dan dua pilihan varian petrol iaitu P300 dan P400.
Varian P300 menampilkan enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 300 PS pada 5,500 rpm dan 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Dengan transmisi automatik lapan kelajuan, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.1 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 191 km/j.
Sementara itu, varian P400 pula mempunyai enjin Ingenium 3.0-liter enam silinder sebaris yang digandingkan dengan sistem hibrid ringkas (mild hybrid), sekaligus menghasilkan 400 PS pada 5,500 rpm dan 550 Nm dari 2,000 hingga 5,000 rpm. Kelajuan maksimumnya sama, cuma masa pecutan 0-100 km/j lebih singkat iaitu 6.1 saat.
Harga jualan Defender bermula dari RM798,800 untuk varian P300 dan RM998,000 untuk varian P400. Harga yang dinyatakan adalah selepas pengecualian cukai jualan 50 peratus, tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan jam tangan Land Rover Heritage bernilai RM2,288.
Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2021 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
No Comment