VOTY 2022 // Supercar Of The Year – Ferrari Roma
Anugerah Vehicle Of The Year (VOTY) 2022
Bila bercakap tentang supercar, ‘calon-calon’ yang kami berpeluang untuk pandu uji biasanya mempunyai penampilan yang agresif dan menonjol. Namun, Ferrari Roma membuktikan yang supercar tidak perlu kelihatan seperti kapal angkasa dari masa hadapan untuk mencuri perhatian ramai.
Diperkenalkan di peringkat global pada November 2019, Roma mungkin diposisikan sebagai model entry-level dalam barisan model pengeluar dari Itali itu namun itu tidak penting kerana imejnya yang segak dan penuh elegan mampu membuatkan sesiapa sahaja terpana.
Tetapi jangan sesekali terpedaya dengan penampilannya yang santai kerana prestasi Roma tidak boleh dipandang rendah. Dengan 620 PS dan 760 Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 3.9-liter V8, jentera ini hanya memerlukan 3.4 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.
Dinamakan sempena ibu negara Itali, Roma merupakan model Grand Tourer (GT) fastback coupe yang diinspirasikan oleh 250 GT Berlinetta lusso dan 250 GT 2+2.
Dari segi aerodinamik, jentera ini mampu menghasilkan 95 kg lebih banyak ‘downforce’ pada kelajuan 250 km/j berbanding Portofino, dengan adanya penjana vortex pada bahagian hadapan dan spoiler belakang. Spoiler ini boleh dinaikkan dalam tiga posisi iaitu Low Drag, Medium Downforce, dan High Downforce.
Ruang kabin Roma menampilkan konsol tengah yang tinggi yang memisahkan ruang pemandu dan penumpang, satu susun atur yang agak luar biasa bagi Ferrari.
Satu lagi ciri baharu adalah panel sentuhan haptik pada stereng. Pad sentuhan pada sebelah kanan membolehkan pemandu mengawal skrin tengah manakala pad sentuhan sebelah kiri memberikan akses kepada ciri arahan suara dan Adaptive Cruise Control.
Bagi pasaran Malaysia, Roma dijual pada harga RM968,000 (sebelum duti, opsyen dan insurans). Model ini kini sedang dipamerkan di bilik pameran Ferrari di Platinum Park, Kuala Lumpur sehingga 29 Jun ini.
Tentang Anugerah Vehicle of the Year (VOTY):
Proses kami mudah dan telus.
Semua kereta yang dilancarkan dalam tempoh 12 bulan dari 2021 layak untuk dicalonkan dalam anugerah ini. Kami menghubungi semua syarikat kereta yang beroperasi di negara ini untuk meminta kenderaan untuk dipandu uji. Tiada yuran penyertaan dan syarikat tidak perlu membeli meja untuk majlis tersebut. Apa yang diperlukan adalah kereta baharu dan kebenaran untuk kami menilainya.
Kira-kira sebulan sebelum acara berlangsung, keempat-empat juri dari DSF.my dan gohedgostan.com (Daniel Sherman Fernandez, Ross Hadi, Subhash Nair dan Amirul Mukminin) membincangkan pemenang bagi setiap kategori. Juri hanya boleh mengundi kereta yang telah diuji. Mana-mana model yang mendapat majoriti mudah akan dipilih sebagai pemenang kategori masing-masing.
Penaja utama kami iaitu Allianz mengiktiraf integriti pasukan kami dan semua pihak yang terlibat dalam menentukan pemenang. Kami berharap anda menghargai usaha setiap pihak yang terlibat dan memberi maklum balas bagaimana anugerah ini boleh dimantapkan lagi pada masa akan datang.
No Comment