Pembeli Kereta Terpakai Terima Faedah Waranti Lanjutan
Waranti akan memberi jaminan kepada pelanggan kenderaan Pra-Milik Bertauliah PROTON
Syarikat kereta nasional, PROTON, kini memberikan jaminan lanjutan selama satu tahun untuk semua kenderaan Pra-Milik Bertauliah PROTON (PCPO).
Berkuatkuasa serta-merta, semua kenderaan PCPO yang dijual melalui cawangan kereta terpakai PROTON layak untuk Program Waranti Lanjutan PCPO (PCPO-EW) yang ditaja jamin oleh Allianz General Insurance.
Di bawah program ini, bahagian enjin dan transmisi yang didapati rosak semasa penggunaan biasa akan dibaiki atau diganti untuk tempoh 25,000km atau 12 bulan.
Berikut ialah siaran media PROTON dengan lebih maklumat.
SIARAN MEDIA
“PROTON ingin mengalu-alukan Allianz sebagai rakan kongsi insurans dalam usaha kami untuk memberikan jaminan tambahan kepada pelanggan. Dengan jaminan lanjutan, pemilik kenderaan PCPO dilindungi daripada kos yang tidak dijangka akibat kegagalan mekanikal untuk bahagian enjin dan transmisi,” kata Roslan Abdullah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, PROTON.
Sejak penubuhannya pada 2019, unit Pengurusan Kereta Terpakai (UCM) PROTON telah memperkenalkan prosedur operasi dan menyediakan latihan kepada pemeriksa kereta terpakai untuk menguruskan transaksi di setiap cawangan dan memastikan perkhidmatan yang diberikan adalah selaras dengan paras yang ditetapkan oleh jenama itu. Kini, Syarikat itu mempunyai 36 cawangan yang menjual kenderaan PCPO dalam negara.
“Dengan jumlah jualan PROTON yang meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kami telah melihat peningkatan yang sama dalam transaksi jual beli atau tukar beli. Oleh itu, dengan mengutamakan kepuasan pelanggan, kami ingin memberi jaminan kepada pelanggan kami untuk memastikan pemilikan kenderaan PCPO adalah pengalaman yang memuaskan dan setanding dengan jenama lain,” tambah Roslan Abdullah.
Kenderaan yang dijual di bawah program PCPO menjalani pemeriksaan menyeluruh 201 mata dan dijamin
bebas daripada sebarang kerosakan banjir atau kemalangan besar. Selain menikmati jaminan lanjutan 1 tahun yang meliputi enjin dan transmisi, pelanggan juga mendapat sekali perkhidmatan servis asas yang percuma selepas 6 bulan dari tarikh pembelian.
Dengan peralihan kepada platform dalam talian yang makin meningkat, UCM juga telah menubuhkan laman web khusus untuk kereta terpakai PROTON (http://used-cars.proton/com) untuk menarik pembeli yang mahir teknologi. Pengguna boleh melihat stok tanpa mengunjungi bilik pameran dan melayari laman web untuk mendapatkan anggaran harga pasaran bagi kereta terpakai.
No Comment