Hibrid, Elektrik, Hidrogen

Penghantaran DHL Express Guna 6 Van Elektrik Di Lembah Klang

DHL Express menjadi syarikat pertama seumpamanya di Malaysia yang sudah mula bertukar ke van elektrik.

DHL Express kini menggunakan 6 unit van DFSK EC35 elektrik di Lembah Klang untuk penghantaran last-mile/jarak-terakhir dan menjadi syarikat pertama seumpamanya yang beralih ke arah armada kenderaan elektrik komersial.

6 van elektrik DHL Express mula digunakan awal Oktober 2022 di Kuala Lumpur dan Selangor. Syarikat itu telah pun memesan tambahan 55 van elektrik untuk membawa armada EV mereka kepada 61 unit menjelang 2023. Van tambahan ini akan digunakan di negeri-negeri Malaysia yang lain.

Pada skala yang lebih besar, inisiatif ini adalah sebahagian daripada sasaran global Deutsche Post DHL Group untuk memiliki 60% armada elektrik kenderaan penghantaran last mile menjelang 2030 dan rancangan DHL Express untuk memiliki sekurang-kurangnya 1,000 kenderaan elektrik di Asia Pasifik menjelang 2024.

Berikut ialah siaran media DHL dengan lebih maklumat.

PRESS RELEASE

“Kecekapan, inovasi, dan kemampanan operasi logistik merupakan keutamaan kami,” kata Sean Wall, Naib Presiden Eksekutif, Operasi dan Penerbangan Rangkaian, DHL Express Asia Pasifik. “Di samping menambahbaik keupayaan perkhidmatan kami untuk memenuhi permintaan pelanggan yang berkembang pesat, kami juga sedar akan tanggungjawab kami terhadap alam sekitar dan oleh itu berusaha ke arah operasi bersih. Van penghantaran elektrik mewakili masa depan rangkaian hijau sedunia kami dan memacu sasaran neutral iklim kami.”

Model CAM EC35 yang sepenuhnya elektrik mempunyai ruang kargo 4.8 m³ dan mampu mengangkat muatan sebanyak satu tan, sama seperti van konvensional yang digantikan. Ia memerlukan lapan jam untuk dicas penuh bagi jarak sehingga 266 kilometer. Masa ini dikurangkan kepada 2.5 jam dengan pengecasan pantas arus terus (sehingga 40kW). Sistem anti-brek (ABS) dan pengagihan kuasa brek elektronik (EBD) adalah antara ciri-ciri standard yang meningkatkan keselamatan dan pengalaman memandu kurier sambil mereka melengkapkan laluan harian mereka.

Pada masa yang sama, DHL telah membangunkan infrastruktur untuk menyokong pelancaran ini. Titik-titik pengecasan pintar di pusat khidmat direka bentuk khas untuk menampung lebih lagi van elektrik pada tahun-tahun akan datang.

Melalui penggunaan CAM EC35, DHL akan mengalami penjimatan kos bahan api sebanyak 48 peratus serta pengurangan 33 peratus dalam pelepasan CO2 setiap tahun.

Julian Neo, Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei, berkata, “Di DHL Express, pelaburan kami sentiasa bertujuan untuk mengurangkan jejak karbon kami. Kemajuan dalam teknologi kenderaan elektrik memainkan peranan yang penting dan menyumbang kepada misi kami untuk mencapai sifar pelepasan CO2 menjelang 2050. Pelancaran hari ini merupakan satu tonggak dalam perjalanan penyahkarbonan kami dan satu langkah ke hadapan bagi menjayakan logistik bersih.”

Peralihan ke van eletrik juga selaras dengan Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020), yang menekankan kepentingan kenderaan cekap tenaga terhadap komitmen Malaysia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Tags: DFSK EC35DHL Expresselectric vehicleslogistics company

Previous post

BYD Dan Sime Darby Motors Mulakan Operasi Perniagaan Di Malaysia

Next post

Jalan Bangsar & Maarof Dari Lebuhraya Sprint Akan Tutop

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *