PROTON Perkukuh Keyakinan Vendor, Pecut Pembangunan Kenderaan Generasi Seterusnya
Proton Mantapkan Hubungan Dengan Vendor Tempatan Melalui Kerjasama Teknologi
Pengeluar kereta nasional PROTON sekali lagi membuktikan komitmennya dalam memacu inovasi dengan memperkukuh keyakinan vendor tempatan melalui program kerjasama teknologi di China. Program “Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor,” yang dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bersama Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), bertujuan untuk menyokong pembangunan kenderaan generasi akan datang, termasuk kenderaan elektrik (EV).
Sebanyak 22 vendor Malaysia berpeluang melawat kilang komponen EV di tujuh lokasi berbeza di China, termasuk Shanghai dan Hangzhou. Di antara lokasi utama yang dilawati adalah kilang milik Zeekr, pengeluar EV yang dimiliki oleh Geely, serta VREMT, pengeluar bateri dan pengecas EV yang menjadi peneraju di Teluk Hangzhou. Lawatan ini memberikan vendor tempatan pandangan mendalam tentang ekosistem pembangunan EV, sekaligus memperkukuhkan peluang kerjasama strategik dengan rakan niaga dari China.
87% Vendor Ingin Berkolaborasi Dengan Pembekal China
Hasil lawatan ini, sebanyak 87% vendor tempatan menyatakan minat untuk menjalin kerjasama dengan pembekal di China. Lima bidang utama yang dikenalpasti untuk kerjasama termasuk pengedaran, pemindahan teknologi, usaha sama, pembangunan kemahiran, serta pelaburan bersama. Sesi padanan perniagaan yang diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou telah membantu memperkukuh potensi perkongsian strategik untuk rantaian bekalan komponen EV.
“Program ini merupakan pencapaian penting dalam usaha memajukan keupayaan automotif Malaysia. Perkongsian ini tidak hanya mengukuhkan rantaian bekalan tempatan, malah menyokong Dasar Automotif Nasional (NAP 2020) yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai peneraju industri EV di rantau ini,” kata Azrul Reza Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif MARii.
Reka Bentuk Baharu untuk Model Masa Depan
Dalam lawatan berasingan ke China, PROTON turut memperkenalkan reka bentuk dan model konsep yang akan datang kepada wakil vendor dan pengedar. Langkah ini bertujuan mendapatkan maklum balas terhadap pembangunan reka bentuk bagi memenuhi kehendak pasaran global dan tempatan. Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr. Li Chunrong, menyatakan bahawa lawatan ini bukan sahaja memberikan inspirasi kepada vendor dan pengedar, malah memperkukuh keyakinan terhadap hala tuju syarikat dalam menyediakan kenderaan yang lebih canggih dan relevan.
Beberapa teknologi keselamatan dan kemewahan dalaman dalam model-model baru yang diperkenalkan jauh mengatasi segmen pasaran yang ditetapkan, sekali gus dijangka memberi impak ketara di pasaran tempatan.
Terus-Terang,
Proton kini jelas memfokuskan masa depan yang cerah dengan kerjasama teknologi yang kukuh. Walau bagaimanapun, untuk benar-benar mencapai status sebagai peneraju EV di rantau ini, syarikat perlu terus berinovasi dan memastikan bahawa setiap usaha kerjasama yang dijalinkan mampu memberi manfaat langsung kepada vendor tempatan. Walaupun lawatan ke China memberi inspirasi, realitinya adalah bahawa persaingan dalam industri EV semakin sengit. Kami berharap bahawa teknologi yang diperolehi dapat diaplikasikan dengan cekap dan segera dalam industri tempatan, sekaligus membawa Malaysia lebih hampir ke arah revolusi automotif yang mampan.
No Comment