Ferrari Roma Spider: Pengalaman Memandu Convertible Bergaya Ikonik
Kereta V8 dengan Keanggunan Moden untuk Pengalaman Pemanduan Harian yang Luar Biasa
Di Malaysia, Ferrari Roma Spider benar-benar menzahirkan konsep La Nuova Dolce Vita (“Kehidupan Manis yang Baru”), membawa pengalaman pemanduan convertible yang sempurna ke jalan raya kita.
Ferrari Roma Spider adalah perwujudan kecantikan klasik dan moden yang digabungkan dalam bentuk kereta convertible mewah. Kami berpeluang menguji pandu model ikonik ini, dan pengalaman yang kami rasakan memberikan gambaran yang jelas tentang keanggunan dan kecekapan kereta ini.
Rekaan Luar yang Menawan
Ketika kami melihat Ferrari Roma Spider untuk kali pertama, apa yang paling memukau adalah reka bentuknya yang halus dan seksi. Garisan tubuhnya yang panjang, lebar, dan rendah menjadikan ia satu tarikan visual yang sukar dilepaskan pandangan. Dengan panjang keseluruhan 4656 mm, lebar 1974 mm, dan tinggi hanya 1306 mm, Ferrari Roma Spider mempunyai profil yang benar-benar memukau. Bonet hadapan yang panjang dan bersih memberikan ilusi seolah-olah kereta ini diukir dari sekeping logam, menambahkan lagi kesan mewah dan eksklusif.
Reka bentuk minimalis tanpa hiasan berlebihan, serta garisan yang jelas dan tepat, menjadikan Roma Spider tampil dengan keanggunan klasik yang elegan. Setiap elemen pada kereta ini dirancang dengan teliti untuk mengekalkan keindahan visual, sambil memastikan aerodinamik dan prestasi dioptimumkan
Apa yang menjadikan model Spider ini berbeza adalah bumbung lembut yang direka khusus untuk memelihara bentuk siluet coupé Roma. Bumbung ini boleh dibuka hanya dalam masa 13.5 saat pada kelajuan sehingga 60 km/j. Ia bukan sekadar elemen rekaan, tetapi juga meningkatkan kepraktisan kereta dengan ruang but yang lebih besar dan deflektor angin baru yang memberikan keselesaan dalam kereta tanpa menjejaskan ruang dalamannya.
Ferrari Roma Spider menampilkan bumbung lembut yang dibuat daripada fabrik lima lapisan, satu inovasi yang bukan sahaja memberikan penampilan mewah tetapi juga meningkatkan keselesaan ketika memandu. Fabrik ini direka khusus untuk meredam bunyi bising daripada angin dan jalan, memastikan pemanduan yang tenang walaupun pada kelajuan tinggi. Bumbung ini juga meminimakan kesan “ballooning” yang biasa dilihat pada bumbung lembut, menjadikannya antara yang terbaik dalam kelasnya.
Sebagai seseorang yang tradisional, bagi kami Ferrari sepatutnya berwarna merah, simbol klasik yang ikonik. Namun, Roma Spider yang kami pandu kali ini hadir dalam warna Nero Purosangue. Walaupun pada pandangan pertama ia kelihatan seperti hitam, di bawah pancaran matahari, warna ini berubah menjadi merah iridesen yang mempesonakan. Gabungan warna ini memberikan dimensi baru kepada karakter Ferrari ini, menjadikannya tidak hanya elegan tetapi juga dinamik dalam pelbagai pencahayaan.
Pengalaman Pemanduan yang Dinamik
Sebaik sahaja duduk di belakang stereng, kami dapat merasakan bahawa Roma Spider bukan sekadar kereta untuk dipandang, tetapi juga untuk dinikmati. Enjin V8 twin-turbo berkapasiti 3,855 cc yang menghasilkan 620 cv pada 7,500 rpm benar-benar membawa Ferrari Roma Spider ke satu tahap pemanduan yang mengujakan. Enjinnya yang memenangi anugerah selama empat tahun berturut-turut memberikan prestasi yang mengagumkan, membolehkan kereta ini mencapai kelajuan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat.
Roma Spider juga dilengkapi dengan kotak gear dwi-klac 8-kelajuan yang terkenal dengan pertukaran gear yang sangat pantas dan responsif. Sama ada dalam mod automatik atau manual, setiap pertukaran gear berlaku dengan begitu lancar dan tepat, memberikan pengalaman pemanduan yang sangat memuaskan. Memandangkan kereta ini dikuasakan oleh enjin V8 yang berkuasa, kami tidak dapat menahan diri untuk membawa Roma Spider melalui terowong bagi menikmati bunyi gemuruh yang menjadi ciri khasnya. Terowong terdekat adalah Terowong Penchala Link di Kuala Lumpur, dan di situ kami berpeluang menguji keupayaan enjin ini, sambil merasai gegaran bunyi V8 yang memenuhi ruang terowong—satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.
Kepraktisan dan Keselesaan Harian
Walaupun Ferrari terkenal dengan kereta yang berkuasa tinggi, Roma Spider mengejutkan kami dengan tahap keselesaannya. Sistem deflektor angin yang dipatenkan memberikan pengalaman pemanduan terbuka yang nyaman tanpa angin berlebihan. Walaupun memandu dengan bumbung terbuka, my hat was not blown away, only I, was blown away dengan perasaan seronok memandu kereta ini.
Menariknya, walaupun Roma Spider berprestasi tinggi, ia adalah Ferrari yang kami boleh bawa setiap hari. Ia cukup selesa untuk ke pasar tani atau Speed 99, sambil tampil bergaya di Sekinchan di hadapan sawah padi, di mana kami membawa kereta ini untuk sesi fotografi peribadi kami. Kami mendapati bahawa walaupun Ferrari ini tidak mempunyai sifat agresif seperti beberapa model lain, ia tetap mengekalkan karisma Ferrari yang tidak dapat dipisahkan.
Sistem Tekanan Angin dan Aerodinamik Terkini
Ferrari Roma Spider menampilkan teknologi aerodinamik yang canggih. Deflektor angin belakang, yang boleh dibuka dengan menekan satu butang, memberikan perlindungan dari angin yang masuk dari belakang. Ini mewujudkan ruang udara tenang di sekitar pemandu dan penumpang walaupun dalam mod pemanduan terbuka. Selain itu, spoiler aktif yang tersembunyi di belakang turut membantu dalam menstabilkan kereta pada kelajuan tinggi, memberi lebih keyakinan dan keselesaan pemanduan.
Ruang Dalaman yang Mewah
Masuk ke dalam kabin Ferrari Roma Spider adalah seperti melangkah ke dunia teknologi yang canggih. Semua kawalan utama diletakkan di stereng, termasuk butang pencucuhan enjin yang terletak di bawah logo Ferrari, menjadikan pengalaman memulakan kereta ini sangat mengasyikkan. Paparan digital pada meter kluster dan skrin tengah sentuh 8.4 inci memberikan akses kepada semua fungsi penting dengan mudah.
Satu ciri unik yang kami rasakan memerlukan masa untuk dibiasakan adalah isyarat belok (turn signals) yang diletakkan di tengah stereng dan bukan pada batang stereng seperti kebanyakan kereta lain. Namun, setelah beberapa jam memandu, kami dapati ia memberikan kecekapan yang lebih tinggi, sesuai dengan falsafah Ferrari yang ingin pemandu sentiasa menumpukan perhatian di jalan raya dan tangan sentiasa pada stereng.
“Frankly Speaking”
Roma Spider bukanlah Ferrari yang paling agresif yang kami pernah pandu, tetapi ia adalah Ferrari yang paling boleh dinikmati setiap hari. Dengan kombinasi kuasa V8 dan keanggunan Itali, ia adalah pilihan ideal bagi mereka yang mahukan gabungan prestasi tinggi dengan keselesaan dan gaya. Ferrari Roma Spider membawa pemanduan convertible ke tahap baru dengan keselesaan yang tiada tandingan, dan kami merasakan ia adalah Ferrari yang anda boleh bawa ke mana-mana, dari bandar hingga ke luar bandar.
Apa yang lebih menarik, Roma Spider ini juga dijual pada harga RM3.2 juta di Malaysia, termasuk duti dan cukai. Ini adalah satu pelaburan yang besar ya, tetapi bagi mereka yang menghargai pengalaman memandu yang luar biasa dan ingin memiliki sepotong warisan mewah Itali, harga ini setimpal dengan apa yang ditawarkan. Ferrari Roma Spider bukan sekadar tentang prestasi enjin V8 yang menakjubkan, tetapi juga keanggunan reka bentuk, teknologi canggih, dan pengalaman pemanduan yang eksklusif. Dengan bumbung yang boleh dibuka dan gaya yang mempesonakan, Roma Spider menawarkan fleksibiliti untuk digunakan setiap hari atau sekadar untuk menikmati perjalanan santai di hujung minggu.
Berita baiknya, Ferrari Roma Spider tidak datang dengan sebarang syarat khas untuk membelinya. Tidak seperti beberapa model Ferrari yang lebih eksklusif, di mana terdapat syarat ketat seperti keperluan untuk mempunyai rekod pembelian Ferrari terdahulu atau larangan jual semula dalam tempoh tertentu, sesiapa sahaja yang berminat boleh membeli Roma Spider. Model ini tidak memerlukan pembeli melalui proses pemilihan yang ketat seperti model edisi terhad atau kereta khas Ferrari. Ini menjadikannya pilihan yang lebih mudah dicapai bagi mereka yang ingin merasai pengalaman memiliki Ferrari tanpa terikat dengan syarat pembelian yang rumit.
Namun begitu, bagi model-model eksklusif lain seperti Ferrari edisi terhad, syarat-syarat khas masih dikenakan, memastikan hanya pembeli terpilih sahaja yang layak memilikinya. Ferrari mengambil langkah ini untuk mengekalkan nilai dan keistimewaan model-model tersebut, tetapi bagi Roma Spider, ia terbuka kepada semua yang sanggup melabur dalam kemewahan dan prestasi sebuah Ferrari.
Dengan setiap pengalaman memandu Ferrari, kami sentiasa teruja menantikan apa yang akan datang seterusnya. Roma Spider telah memberikan kami satu pengalaman yang unik dan mengasyikkan, dengan gabungan prestasi tinggi, keanggunan rekaan, serta fleksibiliti pemanduan terbuka yang jarang ditemui pada supercar mewah. Selepas menguji Roma Spider, kami kini tidak sabar menantikan peluang untuk menguji Ferrari yang seterusnya, khususnya Ferrari Purosangue — sebuah model yang benar-benar bersejarah.
Jika anda ingin mengambil peluang untuk melihat lebih dekat Ferrari Roma Spider atau bahkan mencuba memandunya, kami cadangkan anda melawat Ital Auto Malaysia di Kuala Lumpur. Ini adalah peluang yang sempurna untuk merasai sendiri pengalaman eksklusif Ferrari dan mungkin juga untuk menguji pemanduan model ini. Hingga pemanduan Ferrari seterusnya, kami yakin Purosangue akan menjadi tumpuan yang kami dan ramai peminat Ferrari nantikan.
No Comment