Red Bull Malaysia Perkukuh Sokongan Ke Sukan Cub Prix
Red Bull Malaysia lanjut kerjasama bersama Pasukan 31, Maju Motor dan CKJ Racing untuk musim 2025, meraikan bakat lumba motosikal tempatan.
Red Bull Malaysia Terus Komited Sokong Sukan Permotoran Tempatan
Red Bull Malaysia sekali lagi membuktikan komitmen mereka terhadap pembangunan sukan permotoran tempatan dengan melanjutkan tajaan bersama Pasukan 31 Racing, Maju Motor Racing, dan CKJ Racing. Langkah ini diumumkan semasa majlis makan malam penghargaan eksklusif yang diadakan di Petaling Jaya pada 28 November 2024. Majlis ini bukan sekadar untuk meraikan kejayaan pasukan sepanjang musim PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix 2024, tetapi juga menandakan permulaan baharu untuk musim 2025.
Ketua Pemasaran Red Bull Malaysia, Adelene Tay, menyatakan bahawa kerjasama ini melangkaui sekadar tajaan. Ia adalah simbol penghargaan dan dorongan kepada pelumba serta kru pasukan yang bekerja keras sepanjang musim. Tambahan pula, Red Bull ingin mengangkat bakat-bakat lumba motosikal Malaysia ke pentas antarabangsa, memacu industri permotoran tempatan ke aras baharu.
Pengiktirafan Khas untuk Pemilik Pasukan dan Kru
Sebagai tanda penghargaan, setiap pemilik pasukan, termasuk Encik Che Ku Jonaidi dari CKJ Racing, Encik K. Sivanesan dari Maju Motor, dan Encik Yong Yin Hoe dari Pasukan 31, menerima plak istimewa. Bukan hanya pelumba, malah kru di belakang tabir turut diberi perhatian. Peranan mereka, daripada mekanik hingga staf sokongan, menjadi tulang belakang kepada kejayaan pasukan.
Adelene Tay turut menegaskan, “Mereka bukan sekadar tenaga kerja, mereka adalah nadi yang memastikan pasukan kekal berdaya saing. Dedikasi mereka tidak ternilai.”
Ganjaran Buat Peminat Setia
Bagi menghargai peminat, Red Bull Malaysia telah menganjurkan peraduan media sosial selama sebulan. Peminat berpeluang memenangi motosikal Yamaha Y15ZR dan topi keledar edisi terhad, kedua-duanya dihiasi logo Red Bull serta tandatangan eksklusif pelumba terkemuka daripada tiga pasukan.
Hadiah ini tidak hanya meraikan peminat setia, tetapi juga mencerminkan dedikasi Red Bull dalam memperkukuh hubungan dengan komuniti peminat sukan permotoran.
Visi untuk 2025 dan Seterusnya
Musim 2024 mungkin telah berakhir, tetapi Red Bull Malaysia tidak berhenti di situ. Sokongan berterusan mereka terhadap bakat tempatan adalah bukti kesungguhan jenama ini untuk memacu kejayaan jangka panjang.
“Pasukan-pasukan ini telah membuktikan makna menolak sempadan untuk mencapai kecemerlangan. Kami akan terus memberi sokongan padu kepada mereka dalam mengejar kejayaan baharu,” ujar Adelene Tay lagi.
Terus-Terang
Majlis penghargaan ini adalah bukti bagaimana Red Bull Malaysia berperanan lebih daripada sekadar penaja. Namun, cabaran sebenar bagi pasukan adalah memastikan prestasi konsisten pada musim-musim akan datang. Walaupun sokongan ini signifikan, kejayaan sebenar bergantung kepada kemampuan pasukan untuk terus bersaing dalam persekitaran yang semakin mencabar.
No Comment