Berita Auto

Mitsubishi Outlander Facelift Diperkenalkan, Tetapi Tidak Untuk Malaysia

Mitsubishi telah mula menggoda peminat automotif dengan kemunculan model Outlander facelift di pasaran Amerika Syarikat. Namun, bagi peminat jenama ini di Malaysia, seolah-olah tiada harapan untuk melihat SUV ini kembali ke pasaran tempatan.

Outlander: Dahulu Popular, Kini Lenap Dari Pasaran Malaysia

Generasi sebelumnya Mitsubishi Outlander sememangnya dikenali sebagai SUV 7-tempat duduk yang cukup serba boleh dan masih mempunyai nilai pasaran yang baik di kalangan pembeli kenderaan terpakai. Namun, selepas kemunculan Xpander dan Triton baharu, Mitsubishi Motors Malaysia seakan-akan mengabaikan sepenuhnya segmen SUV ini. Model seperti Outlander dan ASX telah lama menghilang dari bilik pameran di Malaysia.

Ramai yang berharap Mitsubishi akan memperkenalkan semula Outlander ke pasaran tempatan, terutamanya dengan perkongsian platform model ini bersama Nissan X-Trail generasi baharu. Menariknya, X-Trail baharu juga masih belum menjejakkan kaki ke Malaysia, walaupun ia pernah dipamerkan pada Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS 2024) dengan lencana e-Power hibrid. Namun, dunia sudah pun bergerak ke hadapan dengan pelancaran model facelift Mitsubishi Outlander untuk pasaran Amerika Syarikat.

Perubahan Dalaman dan Teknologi Lebih Baik

Berdasarkan maklumat rasmi, Outlander facelift ini masih mengekalkan identiti SUV 7-tempat duduk. Setakat ini, hanya tiga gambar rasmi bahagian dalam telah didedahkan, menampilkan sistem audio yang ditambah baik. Salah satu perubahan menarik ialah penggunaan sistem audio SiriusXM 360L, sebuah perkhidmatan penstriman satelit berdasarkan permintaan. Bagaimanapun, ini langsung tidak relevan untuk pasaran Malaysia.

Selain itu, Mitsubishi juga memperkenalkan sistem audio baharu dari Yamaha. Ini selari dengan kerjasama yang diumumkan sebelum ini antara Mitsubishi dan Yamaha, di mana teknologi bunyi syarikat ini pertama kali diperkenalkan dalam model Mitsubishi Xforce. Berbeza dengan Outlander, Xforce lebih berpotensi untuk dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.

Reka Bentuk Baharu Dengan Peningkatan Ciri Pemanduan

Dari segi reka bentuk luaran, Outlander facelift ini dijangka menerima perubahan kosmetik yang lebih segar. Selain itu, Mitsubishi juga mendakwa peningkatan telah dilakukan terhadap karekteristik pemanduan di atas jalan raya dan juga keupayaan off-road. Semua butiran rasmi mengenai model ini akan didedahkan pada penghujung Februari 2025.

Namun, satu perkara yang hampir pasti ialah Outlander tidak akan tiba di Malaysia. Dengan strategi produk Mitsubishi Motors Malaysia yang kini lebih tertumpu kepada model seperti Triton dan Xpander, Outlander kelihatan seperti model yang tidak lagi mendapat tempat dalam barisan produk tempatan mereka.

Terus-Terang,

Jika dilihat pada trend pasaran automotif Malaysia, keputusan Mitsubishi Motors Malaysia untuk tidak membawa masuk Outlander facelift ini mungkin ada rasionalnya. Pasaran SUV di Malaysia semakin kompetitif dengan kehadiran jenama lain yang menawarkan pilihan lebih menarik dari segi teknologi dan harga. Selain itu, fokus Mitsubishi yang lebih kepada trak pikap dan MPV seperti Triton dan Xpander jelas menunjukkan hala tuju mereka. Namun, ia tetap mengecewakan bagi mereka yang masih mengharapkan kehadiran semula SUV ini.

Bagi yang menginginkan SUV 7-tempat duduk dengan teknologi terkini daripada Mitsubishi, harapan kini bergantung kepada sama ada syarikat itu akan memperkenalkan model lain yang lebih relevan untuk pasaran Malaysia atau terus mengabaikan segmen ini sama sekali.

Previous post

Kenaikan Tarif Elektrik Julai Ini: Impak Terhadap Kos Pengecasan EV

Next post

Ford Perluas Pusat Servis di Malaysia Timur

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *