Sin Hock Soon Perkukuh Operasi Dengan 40 Lagi Unit Scania Super
Pelaburan Baharu Sin Hock Soon Perkukuh Logistik dan Kecekapan Operasi
Bukit Kayu Hitam, Kedah – Sin Hock Soon Group terus mengukuhkan kedudukannya dalam industri logistik dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Scania untuk penambahan 40 unit trak Scania Super. Majlis yang berlangsung di gudang baharu syarikat itu turut menyaksikan penyerahan rasmi tiga unit trak Scania Super sebagai sebahagian daripada pembelian awal 10 unit.

Menurut Pengurus Besar Sin Hock Soon Group, Shawn Yew, pemilihan trak Scania Super dibuat berdasarkan prestasi dan kecekapan bahan api yang tinggi. Trak ini didatangkan dengan enjin 13 liter yang mampu menjana tork 2,300Nm pada 900RPM, selain menawarkan penjimatan bahan api sehingga 8%. Keupayaan ini membolehkan syarikat mengekalkan operasi yang lebih cekap dan berdaya saing dalam sektor pengangkutan.
Scania Super menetapkan tanda aras baharu dalam industri dengan teknologi enjin terkini yang merangkumi dwi aci sesondol, penyuntik bahan api yang dioptimumkan, turbo pengecasan yang lebih tepat, serta sistem pengurusan enjin yang canggih. Dengan ciri-ciri ini, Sin Hock Soon Group dapat memastikan setiap penghantaran dilakukan dengan tahap kebolehpercayaan yang lebih tinggi.

Selain daripada prestasi, aspek keselamatan turut menjadi keutamaan. Scania Super dilengkapi dengan Beg Udara Langsir Sisi dan Beg Udara Stereng sebagai ciri standard, selain Sistem Brek Elektronik (EBS) dengan Anti-Lock Braking System (ABS) dan Kawalan Cengkaman (Traction Control). Langkah ini bukan sahaja melindungi pemandu tetapi juga pengguna jalan raya lain.
Dalam usaha memaksimumkan keuntungan dan kelestarian operasi, Sin Hock Soon Group akan mendapat manfaat daripada Scania Digital Services, termasuk Pakej Kawalan Sistem Pengurusan Armada selama tiga tahun. Melalui platform My Scania dan aplikasi Fleet, syarikat boleh mengakses data prestasi kenderaan, kedudukan semasa trak, perancangan servis, pemantauan pelepasan karbon, serta penilaian pemandu untuk meningkatkan keberkesanan latihan dan bimbingan pemandu.

Dengan setiap pembelian Scania Super, Sin Hock Soon Group juga menerima pelan penyelenggaraan inklusif selama dua tahun yang meliputi 84 titik pemeriksaan. Syarikat turut mendapat akses ke rangkaian bengkel Scania yang luas, memastikan trak mereka berada dalam keadaan optimum sepanjang masa.
Sin Hock Soon Group bermula sebagai sebuah perniagaan kecil pada tahun 1990-an dengan hanya sebuah trak yang mengangkut kargo di Semenanjung Malaysia. Kini, syarikat ini berkembang menjadi sebuah konglomerat logistik dengan perkhidmatan yang merangkumi pengangkutan kargo dan tangki, pengangkutan kontena, pergudangan, perkhidmatan perkapalan, kejuruteraan, serta penyewaan dan sokongan logistik.

Terus-Terang, pengembangan operasi Sin Hock Soon Group melalui pembelian trak Scania Super ini mencerminkan keseriusan syarikat dalam meningkatkan kecekapan serta daya saing dalam industri logistik. Langkah ini bukan sekadar menambah bilangan trak tetapi lebih kepada strategi jangka panjang untuk memastikan setiap aspek operasi dioptimumkan dari segi kos, keberkesanan bahan api, keselamatan, dan kelestarian alam sekitar. Cabaran utama yang perlu ditangani kini adalah bagaimana syarikat boleh terus mengekalkan daya saing di tengah-tengah perubahan industri yang semakin dipacu oleh automasi dan elektrifikasi kenderaan berat.
GALERIA






No Comment