Berita Auto

Subaru Forester 2025 Dapat Versi Hybrid & Wilderness

Subaru akhirnya memperkenalkan varian hibrid untuk model Forester generasi keenam di Amerika Syarikat, bersama dengan varian lasak ‘Wilderness’ yang lebih berorientasikan pemanduan luar jalan.

Subaru mungkin kurang menonjol di Malaysia berbanding era kegemilangannya dahulu, namun jenama ini terus mendapat sambutan hangat di pasaran lain seperti Amerika Syarikat. Pada penghujung 2023, Subaru memperkenalkan model generasi keenam Forester, tidak lama selepas Malaysia menerima versi facelift generasi kelima. Kini, pasaran Amerika Syarikat menyaksikan kemunculan varian hibrid yang dinantikan ramai serta model petrol yang diperkemas dengan pakej ‘Wilderness’.

Subaru Forester Hybrid

Buat pertama kalinya, Subaru Forester hadir dalam versi hibrid untuk pasaran Amerika Syarikat. Sistem hibrid siri-paralel baharu ini menggabungkan teknologi Subaru dengan sumbangan teknologi Toyota. Meskipun elektrifikasi menjadi fokus utama, Subaru masih mengekalkan enjin Boxer 2.5L bersama sistem pacuan semua roda simetri, yang kini menawarkan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 40%.

Dari segi kuasa, gabungan enjin petrol dan motor elektrik menghasilkan output keseluruhan 194hp. Sistem pembakaran enjin ini turut membolehkan peralihan antara kitaran Atkinson dan Miller bagi meningkatkan kecekapan tenaga. Di Amerika Syarikat, harga model ini bermula bawah AS$35,000, menjadikannya pilihan kompetitif dalam segmen SUV hibrid.

Untuk menyerlahkan identiti hibridnya, Subaru Forester Hybrid hadir dengan warna eksklusif Daybreak Blue Pearl, lengkap dengan pilihan bumbung Crystal Black Silica yang kontras. Lencana ‘HYBRID’ menghiasi bahagian fender dan pintu belakang, sementara beberapa varian tertentu akan menampilkan upholsteri StarTex yang lebih tahan lasak.

Persoalannya, adakah model ini akan dibawa masuk ke Malaysia? Berkemungkinan, namun dengan sejarah Subaru di rantau ini, ia mungkin mengambil masa dan ditawarkan pada harga lebih tinggi daripada jangkaan. Satu-satunya cara untuk menjadikannya lebih kompetitif ialah dengan pemasangan tempatan (CKD) serta sokongan insentif cukai kenderaan hibrid yang mesra pengguna.

Subaru Forester Wilderness

Bagi peminat SUV yang lebih berorientasikan pemanduan lasak, Subaru turut memperkenalkan varian ‘Wilderness’ untuk model petrol Forester. Jika nama ‘Wilderness’ kedengaran tidak asing, ia kerana Subaru sudah menawarkan pakej ini sejak 2021 pada model seperti Outback, Forester generasi sebelumnya dan Crosstrek – kesemuanya eksklusif untuk pasaran Amerika Syarikat.

Forester Wilderness ini dilengkapi dengan enjin Boxer 2.5L berkuasa 180hp, namun apa yang membezakannya ialah pelbagai peningkatan mekanikal dan reka bentuk yang lebih sesuai untuk pemanduan luar jalan. Ketinggian tanah dinaikkan kepada 9.3 inci, memberikan sudut masuk, keluar dan ‘breakover’ yang lebih baik. Ia juga dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda simetri dan X-MODE Dual Mode System untuk mengoptimumkan kawalan dalam pelbagai kondisi permukaan.

Untuk meningkatkan kebolehupayaan pemanduan, Subaru menyertakan tayar Yokohama Geolandar yang membaluti rim eksklusif bersaiz 17 inci dengan kemasan anthracite. Suspensi turut dipertingkat dengan gegelung dan penyerap hentak yang lebih panjang, selain sistem penyejukan transmisi yang lebih efisien, termasuk sensor suhu pada pembezaan belakang. Kesemua penambahbaikan ini membolehkan Forester Wilderness menunda beban hampir 1,600kg.

Dari segi reka bentuk, Subaru Forester Wilderness menampilkan rel bumbung yang lebih kukuh dan boleh digunakan secara praktikal, lampu kabus LED berbentuk heksagon, pelindung bawah badan, serta elemen luaran dengan kemasan tembaga anodized. Bahagian dalaman turut menerima sentuhan kemasan tembaga serta paparan kluster digital dengan grafik khas Wilderness.

Frankly Speaking

Terus-terang, Forester Hybrid dan Wilderness ini menunjukkan arah tuju Subaru dalam menyertai trend elektrifikasi serta memenuhi permintaan SUV yang lebih ekstrem. Namun, situasi di Malaysia sedikit berbeza. Pasaran tempatan kurang memberi keutamaan kepada Subaru, dan dengan harga yang berpotensi tinggi, sukar untuk melihat model ini mendapat sambutan besar kecuali jika ada strategi CKD yang agresif.

Lebih membimbangkan ialah bagaimana Subaru akan menyesuaikan diri dengan landskap automotif Malaysia yang kini lebih cenderung kepada EV dan hibrid plug-in. Jika Forester Hybrid mahu masuk ke sini, ia perlu ditawarkan pada harga yang munasabah dengan ciri yang relevan kepada pengguna tempatan. Buat masa ini, realitinya model ini mungkin hanya akan kekal sebagai pilihan eksklusif di luar negara.

Previous post

Adakah Anda Ditipu di Stesen Minyak? Ini Cara KPDN Bantu Anda

Next post

Volvo EX30 Cross Country: SUV Elektrik Lasak untuk Pengembaraan

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *