Langkah Keselamatan Lebuhraya KLK & LPT1 Musim Raya 2025
AFA PRIME Berhad tingkatkan kawalan trafik, keselamatan dan keselesaan pengguna KLK & LPT1 sepanjang Aidilfitri 2025.
Bila tibanya musim perayaan, antara perkara utama yang sering menjadi perhatian adalah keselamatan dan kelancaran trafik di lebuh raya. Menyedari hal ini, AFA PRIME Berhad telah mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan beberapa strategi keselamatan serta pengurusan trafik yang komprehensif di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) sepanjang musim Aidilfitri 2025 ini.
Trafik dijangka meningkat mendadak antara 27 Mac hingga 6 April, dengan KLK menyaksikan peningkatan sehingga 70%, iaitu dari 110,000 ke 187,000 kenderaan sehari. Sementara LPT1 pula bakal mencatatkan kenaikan lebih tinggi sebanyak 83%, meningkat dari 41,000 kepada 75,000 kenderaan sehari. Dalam menghadapi lonjakan pengguna ini, tenaga kerja bahagian tol dan trafik akan ditingkatkan sebanyak 21% bagi mengendalikan peningkatan drastik ini.

Unit khas Kenderaan Rondaan Lebuhraya (EMPV), pegawai RELA serta pasukan respons kecemasan akan digerakkan ke lokasi-lokasi utama seperti plaza tol dan kawasan rehat dan rawat (R&R). Ini bertujuan memastikan pemantauan trafik masa nyata dapat dijalankan dengan lebih teliti, sekaligus memudahkan bantuan segera sekiranya berlaku kecemasan atau insiden yang tidak dijangka.
Pusat Kawalan Trafik (TCC) turut memainkan peranan penting dengan sistem pemantauan lalu lintas masa nyata yang mampu memberi maklumat pantas untuk mengawal aliran trafik dengan lebih efektif. Langkah ini amat kritikal dalam mengelakkan kesesakan yang serius serta menjamin keselamatan pengguna lebuh raya.
Di samping pengurusan trafik, AFA PRIME juga meningkatkan keselesaan pengguna lebuh raya dengan menambahbaik fasiliti di kawasan R&R. Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk penambahan tandas mudah alih, penyediaan ruang parkir tambahan, serta peningkatan jumlah kakitangan pembersihan bagi memastikan tahap kebersihan sentiasa optimum walaupun bilangan pengunjung meningkat secara mendadak.
Tidak ketinggalan, semua stesen minyak yang terletak di sepanjang KLK dan LPT1 akan beroperasi 24 jam sehari, memastikan pengguna tidak menghadapi masalah mendapatkan bekalan minyak sepanjang perjalanan balik kampung. Inisiatif yang cukup praktikal ini tentunya melegakan pengguna lebuh raya yang bimbang akan kehabisan bekalan bahan api di tengah perjalanan jauh.
Demi merapatkan hubungan dengan masyarakat, AFA PRIME Berhad bersama Malaysian Relief Agency (MRA) turut mengagihkan 2,000 kit iftar di Plaza Tol Gombak pada 27 Mac. Program ini adalah sebahagian daripada inisiatif “Jom Balik Kampung” bagi membantu pengguna lebuh raya yang masih berada dalam perjalanan semasa waktu berbuka puasa.
Frankly Speaking: Terus-terang, walaupun langkah yang diperkenalkan oleh AFA PRIME ini amat dialu-alukan, kita perlu mengingatkan bahawa keberkesanan sebenar usaha ini bergantung kepada tahap kesedaran pengguna lebuh raya itu sendiri. Setinggi mana pun tahap keselamatan yang disediakan, jika pengguna jalan raya tidak mengamalkan sikap bertanggungjawab dan berhati-hati, insiden tidak diingini tetap akan berlaku. Oleh itu, kami percaya pengurusan trafik yang baik harus disokong dengan pendidikan berterusan tentang keselamatan jalan raya kepada masyarakat, agar Aidilfitri yang diraikan benar-benar menjadi momen indah tanpa tragedi.
No Comment