Berita Auto

SUV JAECOO J8: Gabungan Kemewahan & Ketangkasan Segmen-D

Pratonton eksklusif SUV JAECOO J8 mengukuhkan lagi kehadiran JAECOO Malaysia sebagai jenama SUV pencabar utama dalam segmen-D di pasaran Malaysia.

JAECOO Malaysia terus melangkah gagah dalam arena automotif tempatan, kali ini memperkenalkan JAECOO J8, sebuah SUV kegunaan lasak premium yang direka khas dengan cita rasa unik pasaran Malaysia. Sebagai model keempat dalam barisan SUV jenama ini, J8 tampil dengan janji kemewahan sederhana serta kemampuan lasak yang tinggi, selari dengan falsafah “From Classic, Beyond Classic”.

Berbekalkan enjin 2.0 liter turbo suntikan terus yang garang, SUV JAECOO J8 menyerlah dengan kuasa 183kW serta tork padu setinggi 385Nm, menjanjikan pengalaman pemanduan yang dinamik. Transmisi Automatik 8-kelajuan serta paip ekzos berkembar pula memastikan SUV ini bukan sekadar bergaya, malah mampu meluncur dengan responsif dan stabil di pelbagai jenis permukaan jalan.

JAECOO J8 hadir dalam dua varian tersendiri—pacuan dua roda (2WD) dengan konfigurasi lima tempat duduk dan pacuan semua roda (AWD) dengan enam tempat duduk. Kedua-duanya direka dengan ciri-ciri premium dan teknologi termaju. Varian AWD, khususnya, dilengkapi teknologi Continuous Damping Control (CDC) yang memastikan pemanduan mantap, sama ada meredah kota mahupun mengharung cabaran lasak, termasuk harungan air sedalam 450mm.

Selain itu, dimensi SUV J8 yang kukuh (tinggi 1.71 meter, lebar 1.93 meter, panjang 4.82 meter dan jarak roda 2.82 meter) memberikan kelebihan dalam aspek ruang dalaman. Kapasiti but sebesar 738L untuk 2WD dan 200L untuk AWD menepati keperluan praktikal pengguna bandar dan pengembara tegar.

Keselesaan turut menjadi fokus utama dengan kemasan dalaman bertaraf tinggi. Varian AWD didatangkan dengan upholsteri kulit tulen, panel hiasan suede serta sistem audio Sony dengan 14 pembesar suara termasuk yang dipasang pada sandaran kepala. Tambahan menarik seperti sistem pewangi automatik, pintu kuasa, serta tempat duduk yang lengkap dengan fungsi urutan dan pengudaraan jelas menunjukkan komitmen jenama ini terhadap keselesaan pengguna.

Dari segi keselamatan, SUV JAECOO J8 tidak berkompromi dengan ciri-ciri premium seperti kamera panoramik 540 darjah, sehingga 10 beg udara untuk varian AWD, dan perakam video digital (DVR) terbina dalam. Fungsi bantuan parkir automatik juga disertakan bagi memastikan pengalaman memandu lebih mudah dan selamat.

Berkenaan pilihan warna, varian 2WD tampil dengan satu tona yang elegan, sementara AWD menawarkan pilihan dua tona untuk gaya lebih eksklusif. Harga anggaran RM195,000 bagi varian 2WD dan RM220,000 bagi varian AWD juga menjadikannya pilihan menarik dalam kelas SUV segmen-D premium.

Dalam jelajah pertamanya, JAECOO turut mempamerkan teknologi canggih Plug-in Hybrid Electric Vehicle (PHEV), yang sebelum ini telah diperkenalkan melalui model J7 PHEV pada Februari lalu. Ini membuktikan tekad JAECOO ke arah mobiliti lestari tanpa mengetepikan prestasi dan gaya.

Peminat dan orang ramai boleh menyaksikan sendiri keunggulan SUV ini di pameran jelajah di 1Utama Shopping Centre dari 27 hingga 31 Mac, diikuti Queensbay Mall, Pulau Pinang, dari 9 hingga 13 April, dan di acara Malaysia Auto Show (MAS) 2025 pada 8 hingga 15 Mei nanti.

Frankly Speaking Terus-terang, meskipun SUV JAECOO J8 tampil meyakinkan dengan spesifikasi mantap dan gaya premium, kami percaya kejayaan sebenarnya bergantung pada keberkesanan sokongan selepas jualan dan rangkaian servis yang boleh dipercayai. Kemampuan JAECOO dalam memenuhi janji bukan sahaja pada kertas tetapi juga dalam realiti pengguna harian bakal menentukan penerimaan SUV ini dalam pasaran yang semakin kompetitif.

Previous post

Alfa Romeo Junior EV: Kunci Utama Kembalinya Jenama Itali

Next post

Motul Peroleh Pensijilan SIRIM, Jamin Ketulenan Produk

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *