Vespa GTS 300 Classic Tampil Bergaya di Malaysia
Penampilan ikonik Vespa kembali mencuri perhatian, dilengkapi enjin moden 300 hpe serta ciri eksklusif pada harga pengenalan RM29,900 terhad kepada 50 unit pertama.
Vespa GTS 300 Classic secara rasmi dilancarkan oleh Didi Group, pengedar sah Vespa di Malaysia, menawarkan pilihan baru buat peminat skuter gaya klasik yang mengidamkan gabungan elegan dengan inovasi teknologi terkini. Model ini menyertai barisan GTS yang terkenal sporty seperti GTS SuperSport dan Vespa GTS SuperTech yang sarat teknologi canggih.
Dari sudut reka bentuk, Vespa GTS 300 Classic ini mengekalkan gaya klasik yang sinonim dengan identiti Vespa. Ia ditampilkan dengan warna metalik terang yang menarik perhatian, tersedia dalam empat variasi yang unik. Setiap perincian direka dengan penuh ketelitian, termasuk kemasan krom pada profil badan, pelindung suspensi depan, bingkai lampu hadapan, serta pelindung penyenyap ekzos yang menyerlahkan lagi aura mewah skuter ini.
Dari aspek prestasi, Vespa GTS 300 Classic dikuasakan oleh enjin berprestasi tinggi, iaitu 300 hpe (High Performance Engine) dengan sesaran 278cc. Enjin moden ini menghasilkan kuasa maksimum sebanyak 23 kuasa kuda serta tork maksimum 26 Nm, memberikan pengalaman tunggangan yang responsif dan lancar sama ada dalam bandar atau perjalanan jauh. Enjin empat lejang ini turut dilengkapi teknologi suntikan elektronik, memastikan kecekapan bahan api yang cemerlang iaitu sekitar 30.3 km/liter.
Skuter ini menampilkan badan besi unik yang bukan sahaja mesra alam kerana ia 100% boleh dikitar semula, tetapi juga menawarkan keselamatan serta ketahanan luar biasa berbanding model lain dalam kategori ini. Vespa mengekalkan tradisi suspensi hadapan single-arm, yang kini ditambah baik untuk kestabilan dan keselesaan yang lebih tinggi, terutama semasa melalui jalan yang mencabar atau berbonggol.
Bagi menambah praktikaliti, Vespa GTS 300 Classic turut dilengkapi sistem kemasukan tanpa kunci yang canggih, membolehkan penunggang menghidupkan enjin dan membuka kunci stereng dengan mudah menggunakan alat kawalan jauh yang boleh disimpan dalam poket. Ini memberikan kebebasan kepada penunggang untuk menikmati tunggangan dengan lebih mudah dan santai.
Selain ciri teknikal, aspek keselesaan juga diberikan perhatian khusus. Rekaan tempat duduk yang baru menawarkan ergonomik terbaik, memberi keselesaan bukan sahaja kepada penunggang tetapi juga penumpang di belakang. Ini menjadikan Vespa GTS 300 Classic pilihan ideal untuk mereka yang sering membuat perjalanan jarak jauh atau sekadar santai hujung minggu.
Harga pengenalan istimewa ditawarkan kepada 50 pelanggan pertama pada RM29,900, manakala harga selepas promosi terhad ini adalah RM31,900. Harga ini dianggap bersesuaian bagi model Vespa yang sinonim dengan gaya dan prestij tinggi, khusus untuk mereka yang ingin tampil bergaya tanpa mengorbankan prestasi.
Frankly Speaking
Terus-Terang, walaupun Vespa GTS 300 Classic ini menawarkan pakej menarik, harganya mungkin menjadi cabaran besar selepas tawaran terhad tamat. Vespa memang sinonim dengan gaya dan warisan, namun harga RM31,900 selepas promosi mungkin menjadi cabaran buat pengguna yang mempunyai pilihan alternatif dengan spesifikasi hampir setara pada harga lebih kompetitif. Sebaiknya, bakal pembeli mempertimbangkan keperluan praktikal dan nilai sebenar yang ditawarkan sebelum membuat keputusan. Vespa tetap Vespa, tetapi pilihan bijak bergantung pada gaya hidup dan kemampuan masing-masing.
GALERIA
Beige Sabbia







Black Vulcano








Green Relax





No Comment