Eksklusif Tawaran Harley-Davidson Touring 2024
Rebut diskaun sehingga RM20,000 untuk Road Glide 117 dan Street Glide 117 yang tampil dengan keunggulan kuasa serta gaya tersendiri.
Bermula dari saat ini hingga 30 April 2025, Harley-Davidson Malaysia tampil dengan kempen menarik, khas buat peminat jentera touring terulung mereka, Road Glide 117 dan Street Glide 117 bagi tahun model 2024. Dengan potongan harga mencecah RM20,000, inilah peluang keemasan buat para penunggang yang mendambakan pengalaman unik di atas jalan raya, sambil menikmati prestasi unggul dan keselesaan maksimum dalam setiap perjalanan.

Dibina untuk pengembaraan jauh, model-model Harley-Davidson ini memiliki enjin Milwaukee-Eight® 117, yang diiktiraf kerana gabungan kuasa luar biasa dan tork mantap. Kedua-dua model ini mampu menghasilkan kuasa sehingga 103 kuasa kuda dengan daya kilas maksimum sebanyak 168 Nm, memberikan responsif enjin yang padu serta lancar untuk pecutan meyakinkan dari titik mula hingga ke kelajuan tertinggi. Bagi mereka yang sukakan kelajuan, Road Glide 117 dan Street Glide 117 mampu mencapai kelajuan maksimum sekitar 180 km/j dengan prestasi 0-100km/h dalam hanya sekitar 4 saat sahaja.
Tawaran ini memberi penekanan istimewa kepada nilai eksklusiviti, di mana peminat jenama ikonik ini dapat memiliki motosikal Harley-Davidson pada harga yang lebih berbaloi tanpa kompromi terhadap kualiti dan prestasi. Kedua-dua varian ini hadir dengan reka bentuk aerodinamik yang mengurangkan rintangan angin, sekali gus menjadikan tunggangan lebih stabil dan selesa walaupun pada kelajuan tinggi.

Selain aspek teknikal, aspek keselesaan juga menjadi keutamaan Harley-Davidson bagi model-model Grand American Touring ini. Sistem infotainmen premium, Boom!™ Box GTS yang dilengkapi paparan skrin sentuh responsif memberikan kemudahan navigasi serta hiburan sepanjang perjalanan jauh anda. Ditambah pula dengan tempat duduk empuk, kawalan ergonomik, serta sistem audio berdefinisi tinggi, pengalaman menunggang Road Glide 117 dan Street Glide 117 pastinya lebih menyenangkan.
Kempen ini berlangsung dalam tempoh terhad serta bergantung kepada stok sedia ada. Ia menawarkan peluang luar biasa kepada para pencinta motosikal untuk menikmati gaya hidup Harley-Davidson dengan lebih mampu milik. Pelanggan boleh mendapatkan maklumat lanjut serta membuat tempahan pandu uji di mana-mana pengedar sah Harley-Davidson seluruh negara seperti di Petaling Jaya, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru dan Kota Kinabalu.

Frankly Speaking
Terus-terang, kempen sebegini sememangnya menarik perhatian ramai penggemar motosikal berkuasa tinggi, tetapi kami berpandangan bahawa Harley-Davidson perlu mengekalkan tahap perkhidmatan selepas jualan serta ketersediaan alat ganti secara konsisten, bagi memastikan pengalaman pemilikan yang memuaskan dalam jangka masa panjang. Tawaran ini bagus, namun kejayaan sebenar kempen ini bergantung kepada sejauh mana Harley-Davidson mampu memenuhi jangkaan tinggi pemilik motosikal premium di Malaysia.
No Comment