Gaya Hidup / Lifestyle

Pengaruh TikTok dan Influencer Dalam Jualan Kereta Baharu

Sejauh mana tiktokers dan influencer mampu melonjakkan jualan kenderaan baharu di Malaysia? Kami analisa kesannya dengan kritikal.

Dalam era digital ini, penggunaan influencer dan tiktokers semakin menjadi kebiasaan dalam industri automotif tempatan. Jenama-jenama automotif giat memanfaatkan pengaruh personaliti media sosial ini untuk memacu jualan kenderaan baharu mereka. Namun, persoalan utama yang perlu kita fikirkan secara rasional ialah: apakah benar strategi ini memberikan pulangan yang berbaloi, atau sekadar mencetuskan kos tambahan tanpa impak yang jelas?

Ramai pengeluar kereta yang pada awalnya teruja menggunakan khidmat influencer mendapati mereka tetap terpaksa memberikan diskaun besar-besaran untuk menjual stok kereta yang masih terkumpul. Bahkan ada yang terpaksa menggunakan taktik pendaftaran pra-jualan demi menunjukkan angka jualan yang memberangsangkan. Situasi ini jelas menunjukkan bahawa penggunaan influencer bukanlah solusi muktamad dalam menjamin peningkatan jualan.

Misalnya, kita ambil contoh influencer yang cukup terkenal dalam kalangan peminat automotif tempatan. Tidak dinafikan, pengikutnya ramai dan videonya mendapat jumlah tontonan tinggi kerana beliau dilabel sebagai pakar automotif berpengalaman. Namun, sejauh mana populariti beliau mampu mendorong pengikut membeli kereta baharu masih menjadi tanda tanya. Popular tidak semestinya mampu menjual.

Realitinya, influencer ini bukan sahaja mempromosikan kenderaan tetapi turut menjual pelbagai produk lain. Bayangkan, influencer yang sama ini menjual rumah pada hari Isnin, kosmetik pada Selasa, kursus kolej pada Rabu, minuman keras pada Khamis, kondominium pada Jumaat, pakej spa hotel pada Sabtu, dan restoran pada hari Ahad. Dengan kata lain, kepercayaan pengguna terhadap kepakaran influencer tersebut dalam satu-satu bidang pasti tercabar.

Situasi ini juga memberi kesan negatif terhadap persepsi generasi muda Malaysia. Kita menyaksikan lebih ramai remaja yang sanggup mengabaikan pendidikan, bahkan seawal tingkatan lima lagi, demi mengejar cita-cita menjadi influencer atau tiktoker terkenal. Mereka melihat kerjaya ini sebagai jalan pintas kepada populariti dan kekayaan segera, tanpa sedar bahawa realitinya lebih rumit dan tidak menjanjikan kestabilan jangka panjang.

Di samping itu, kebanyakan pengguna yang mengikuti influencer tidak semestinya berminat membeli produk yang dipromosikan. Mereka lebih cenderung menonton untuk tujuan hiburan percuma, mengisi masa lapang atau tertarik dengan aspek personaliti influencer tersebut, bukannya kandungan promosi yang disampaikan. Dalam erti kata lain, jumlah tontonan yang tinggi tidak semestinya menjamin jualan tinggi.

Kita harus menerima hakikat bahawa pengaruh influencer dalam penjualan kenderaan baharu mempunyai batasannya. Strategi pemasaran automotif yang mampan dan efektif memerlukan pendekatan lebih menyeluruh, termasuk kredibiliti produk, reputasi jenama, dan perkhimatan pelanggan yang berkualiti.

Harper’s Bazaar Malaysia

Frankly Speaking

Terus-Terang, fenomena menggunakan influencer dan tiktokers dalam industri automotif Malaysia perlu dikaji semula. Kami melihat trend ini sebagai satu strategi yang terlalu bergantung pada populariti sementara dan kurang memberi fokus kepada keperluan sebenar pengguna. Apa gunanya berbelanja besar pada influencer jika jualan masih perlahan dan stok terus bertimbun? Kami percaya industri ini perlu berani melangkah ke hadapan dengan pendekatan lebih matang dan realistik. Populariti bukan segala-galanya, dan kejayaan jangka panjang pasti memerlukan lebih daripada sekadar jumlah tontonan di media sosial.

Previous post

Chery Malaysia Bantu Mangsa Kebakaran Putra Heights

Next post

Sambutan Raya GWM Malaysia & Peluang Menangi Hadiah Lumayan

Ross Hadi

Ross Hadi

21 tahun mengacara di radio.
8 tahun bersama Daniel Ferrnandez dalam rancangan Car Tunes di radio.
Kini di sini dan media sosial sejak 2014.

No Comment

Leave a reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *