PROTON Sumbang RM250,000 Bantu Mangsa Kebakaran Putra Heights
PROTON tampil hulur bantuan kewangan RM250,000 serta pemeriksaan percuma bagi kenderaan Proton yang terjejas akibat tragedi kebakaran paip gas Putra Heights.
Tragedi kebakaran akibat kebocoran paip gas yang melanda Putra Heights baru-baru ini bukan sahaja memusnahkan harta benda, malah turut meninggalkan kesan mendalam kepada kehidupan seharian penduduk sekitar. Menyedari kesan bencana ini, PROTON bertindak pantas dengan mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM250,000 sebagai langkah segera membantu meringankan beban penduduk yang terlibat.
Insiden kebakaran pada pagi 1 April lalu telah merebak sepanjang 500 meter, menyebabkan 235 premis rosak teruk. Daripada jumlah itu, sebanyak 87 buah rumah musnah sepenuhnya, sementara 148 lagi mengalami kerosakan serius. Lebih membimbangkan, sebanyak 399 kenderaan turut terjejas, dengan 225 daripadanya rosak akibat api secara langsung, manakala 174 lagi terjejas kerana haba melampau daripada kebakaran tersebut.
Dana sebanyak RM250,000 yang disumbangkan PROTON ini akan digunakan khusus bagi memenuhi keperluan asas dan kecemasan penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta terpaksa tinggal di pusat-pusat pemindahan sementara seperti Dewan Masjid Putra Heights dan Dewan Camelia, Majlis Bandaraya Subang Jaya. Syarikat sedar, bantuan awal kerajaan yang disediakan sebelum ini masih belum mencukupi bagi menangani keperluan mendesak penduduk terbabit.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Li Chunrong, bantuan ini merupakan tanggungjawab korporat syarikat dalam membantu masyarakat dalam keadaan genting. “Kami memahami cabaran getir yang sedang dihadapi penduduk Putra Heights ketika ini dan berharap bantuan kami dapat meringankan sedikit sebanyak kesulitan mereka,” jelas beliau dalam kenyataan media baru-baru ini.
Selain daripada bantuan kewangan, PROTON turut menyediakan pemeriksaan percuma secara menyeluruh kepada pemilik kenderaan Proton yang terkesan akibat kebakaran ini. Sebanyak enam pusat servis Proton yang berhampiran akan menawarkan khidmat ini bagi memastikan pemilik kenderaan mendapat penilaian tepat tahap kerosakan kenderaan mereka.
Antara pusat servis Proton yang terlibat adalah AAPICO Motors, SAG Wira, MBF Automobile, Atiara Johan, Regal Motors, dan Vantage Speed. Setiap pusat servis ini telah menyediakan pasukan khas untuk membantu dalam proses penilaian serta tuntutan insurans berdasarkan tahap kerosakan yang dialami oleh kenderaan.
Pemilik kenderaan Proton yang terjejas boleh menghubungi pusat servis ini secara langsung untuk mendapatkan bantuan lanjut serta nasihat mengenai langkah-langkah yang perlu diambil bagi mempercepatkan proses baik pulih dan pemulihan kenderaan mereka.
PROTON turut menyediakan talian khidmat pelanggan 24 jam melalui nombor 1-800-88-8398 atau WhatsApp di 012-2195426 untuk sebarang pertanyaan atau bantuan lanjut.
Frankly Speaking
Terus-Terang, walaupun usaha PROTON ini amatlah dihargai, kami berpandangan bahawa sumbangan sebegini perlu diteruskan secara konsisten dan bukan sekadar sebagai tindak balas terhadap tragedi besar sahaja. Kita mengharapkan PROTON dan syarikat korporat lain terus proaktif dalam menyokong komuniti setempat dengan inisiatif yang lebih menyeluruh serta berterusan. Kebajikan masyarakat harus menjadi sebahagian daripada DNA korporat secara jangka panjang, bukan hanya apabila berlaku musibah besar seperti ini.
No Comment