Lotus Eletre Melangkah ke Malaysia: Hyper-SUV Elektrik yang Mengagumkan
Lotus Cars Malaysia melancarkan SUV elektrik berprestasi tinggi, membuka bab baru dalam sejarah jenama.
Lotus Cars Malaysia, pemegang francais tunggal kenderaan Lotus di negara ini, telah melancarkan Eletre yang sangat ditunggu-tunggu – Hyper-SUV elektrik yang membawa transformasi pengeluar kereta sports UK itu ke dalam jenama kereta berprestasi tinggi global. Eletre menghadirkan prinsip-prinsip asas dan DNA Lotus dalam bidang kejuruteraan dan reka bentuk kereta sports, selama hampir 75 tahun, evolusi ini menjadi model gaya hidup yang menawan untuk generasi baru pelanggan Lotus.
Eletre, sebagai SUV elektrik sepenuhnya baru, menampilkan banyak perkara pertama bagi Lotus – model pertama di luar segmen kereta sport, kereta elektrik (EV) gaya hidup pertama, dan Lotus yang paling ‘tersambung’ setakat ini. Dilengkapi dengan teknologi berprestasi tinggi, termasuk pakej aerodinamik aktif yang paling canggih daripada mana-mana SUV lain, Lotus Eletre menawarkan pengendalian dan pemanduan mengagumkan, stereng yang sangat responsif, dan keterlibatan luar biasa dengan pemandu.
Tiga varian Eletre – Eletre, Eletre S, dan varian tertinggi Eletre R – kini telah tiba di pasaran Malaysia. Sehingga pelancaran hari ini, Hyper-SUV ini telah menerima 140 tempahan dengan hanya 200 unit tersedia untuk tahun 2023.
Pengarah Serantau, Asia Pasifik dan Asia Barat Lotus Cars, Daniel Balmer, berkata: “Ini merupakan detik penting dalam sejarah Lotus Cars. Eletre ialah sebuah kereta baharu yang berani dan revolusionari, ia menjadi bukti komitmen kami untuk membawa jenama ini ke dalam segmen automotif baharu dalam usaha kami meningkatkan tarikan dan akses di peringkat global. Eletre merupakan sebuah Lotus yang sebenar, dan kami yakin ia dapat mengujakan pelanggan kereta berprestasi tinggi dan menjadi satu alternatif yang tersendiri dalam segmen ini. Eletre memiliki jiwa sebuah Lotus dan praktikaliti sebuah SUV. Selain kereta sports Emira, ini ialah kereta yang sempurna untuk garaj anda daripada Lotus.”
Pengurus Besar Lotus Cars Malaysia, Tengku Ezan Ley, menambah: “Eletre ialah sebuah kereta elektrik berprestasi tinggi yang progresif dan eksotik daripada jenama kereta berprestasi ikonik yang akan menarik minat mereka yang gemar memandu dan berfikiran bebas. Kombinasi unik di antara reka bentuk yang cantik, prestasi dinamik luar biasa dan boleh dipandu setiap hari, ia memang satu alternatif menarik buat mereka yang mahukan sebuah kereta pemandu sebenar, tetapi gaya hidupnya memerlukan jentera yang lebih praktikal berbanding kereta sports tradisional.”
Dalam konteks yang lebih luas, pelancaran Eletre di Malaysia menandakan langkah penting dalam evolusi industri automotif dan kemajuan teknologi elektrik di negara ini. Dengan tiga varian Eletre yang kini tersedia di pasaran Malaysia, pelanggan mempunyai pilihan yang lebih luas untuk memenuhi keperluan gaya hidup mereka tanpa mengorbankan prestasi dan kegembiraan memandu.
Mengakhiri artikel ini, kita dapat melihat bagaimana Lotus Eletre menggabungkan nilai-nilai teras Lotus dalam reka bentuk dan kejuruteraan dengan inovasi dalam teknologi elektrik dan kepraktisan SUV. Eletre bukan sahaja melambangkan masa depan Lotus tetapi juga mewakili perubahan yang sedang berlaku dalam industri automotif global, di mana kereta elektrik berprestasi tinggi semakin mendapat tempat di hati peminat kereta.
Harga dan Kebolehdapatan
Berikut adalah harga Lotus Eletre untuk ketiga-tiga varian yang ditawarkan di Malaysia. Harga ini termasuk on-the-road, tetapi tidak termasuk insurans dan cukai jalan untuk Semenanjung Malaysia sahaja:
- Lotus Eletre – bermula RM578,000
- Lotus Eletre S – bermula RM648,000
- Lotus Eletre R – bermula RM798,000
Lotus Eletre hadir dengan jaminan pengilang selama lima tahun / 150,000km, sementara jaminan bateri disediakan selama lapan tahun / 200,000km.
Pelanggan Eletre juga diberikan peluang untuk mengubah suai dan mempersonalisasikan kereta mereka melalui pakej-pakej pilihan yang tersedia. Beberapa pilihan yang ditawarkan sewaktu pelancaran termasuk Lotus Dynamic Handling Pack, Ceramic Brake Pack, Executive Seat Pack, Comfort Seat Pack, Carbon Fibre Pack, Extended Carbon Fibre Pack, dan Interior Carbon Fibre Pack. Kebanyakan pilihan dari pakej-pakej ini juga boleh didapati secara berasingan. Dua pakej Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) turut ditawarkan, iaitu Parking Pack dan Highway Assist Pack.
Untuk maklumat lanjut mengenai Lotus Eletre, Hyper-SUV yang serba baharu, sila layari laman web www.lotuscars.com atau ikuti saluran Facebook, Instagram, dan YouTube Lotus Cars Malaysia.
Berikut ialah siaran media Lotus Malaysia dengan lebih maklumat:
Memacu ke dalam “Kelab Dua Saat” yang eksklusif
Lotus Eletre hadir dengan dua pilihan rangkaian kuasa bersama dua motor elektrik pada roda hadapan dan belakang untuk menawarkan keupayaan pacuan semua roda (AWD).
Eletre dan Eletre S dikuasakan oleh sistem kelajuan tunggal untuk menawarkan 603hp dan tork 710Nm dengan prestasi pecutan 0-100km/j dalam masa 4.5 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa kurang 2.2 saat. Kedua-dua varian mampu mencapai kelajuan maksimum 258km/j dan jarak pemanduan maksimum WLTP sejauh 600km.
Varian teratas Eletre R hadir dengan sistem dua kelajuan yang menawarkan kuasa mengagumkan 905hp dan tork 985Nm. Mampu mencapai kelajuan 0-100km/j dalam masa cuma 2.95 saat dan pecutan 80-120km/j dalam masa kurang 1.9 saat dengan pecutan maksimum 265km/j, ia kini merupakan SUV elektrik dua motor paling pantas di dunia. Jarak pemanduan WLTP untuk Eletre R adalah sejauh 490km.
Ketiga-tiga varian menggunakan bateri berkapasiti 112kWh dan pengecas 350kW yang membolehkan pengecasan pantas dari 10 ke 80 peratus dalam masa hanya 20 minit. Ia juga hadir dengan keupayaan menerima pengecasan AC 22kW sebagai ciri standard.
Pek bateri dengan tenaga berkepadatan tinggi menawarkan keseimbangan terbaik dari segi prestasi dan jarak pemanduan. Sistem pemanduan elektrik tiga dalam satu menyatukan setiap motor dengan satu unit kawalan dan reducer, ini merupakan satu reka bentuk efisien yang membuatkan unit berkenaan lebih kecil dan ringan – satu penyelesaian yang sangat tipikal dengan Lotus.
Dinamik pemanduan
Setiap Eletre hadir dengan dinamik pemanduan luar biasa, keselesaan dan prestasi Lotus yang sebenar. Suspensi jenis multi-link pada roda hadapan dan belakang dengan suspensi udara, Continuous Damping Control (CDC), pemvektoran tork dengan cara membrek, gril hadapan aktif dan spoiler bumbung terpisah dan ‘terapung’ digabungkan untuk memberikan aspek aerodinamik, pemanduan dan pengendalian yang optimum.
Gril hadapan aktif Eletre terdiri daripada rangkaian kelopak-kelopak tiga segi yang saling bersambung dan memberi kelebihan dari segi aerodinamik. Direka dengan sangat teliti, ia akan ditutup apabila kereta tidak bergerak atau wujud keperluan untuk mengurangkan seretan ketika memandu. Ia akan dibuka dalam bentuk tertentu untuk membenarkan udara masuk ke dalam radiator, seterusnya membolehkan Eletre untuk ‘bernafas’ apabila hendak menyejukkan motor elektrik, pek bateri brek hadapan jika perlu.
Sementara spoiler bumbung gentian karbon yang kelihatan seperti winglet kereta lumba menyalurkan aliran udara ke bahagian cermin dan spoiler belakang aktif akan diaktifkan secara automatik berdasarkan kepada kelajuan. Ia mempunyai tiga sudut pengaktifan tersendiri, bergantung kepads mode pemanduan yang dipilih. Varian Eletre S dan Eletre R ditambah dengan spoiler aktif belakang yang akan diaktifkan secara automatik ke dua tahap berbeza pada kelajuan tinggi.
Lotus Eletre dilengkapi dengan lima mode pemanduan yang mengubah suai maklum balas stereng, tetapan peredam, rangkaian kuasa dan pedal pecutan. Mode-mode itu ialah Range, Tour, Sport, Off-Road dan Individual yang standard pada semua varian.
Eletre R menerima mode tambahan Track yang dibangun berdasarkan kepada ujian ekstensif di litar Nürburgring. Ia memberikan tetapan yang lebih rendah dan berorientasikan kepada prestasi. Ini termasuklah stereng roda belakang aktif, peredam adaptif dan kawalan anti-oleng aktif untuk menawarkan prestasi dinamik pada tahap lebih tinggi. Mode Track juga merangkumi satu gril aktif yang boleh dibuka sepenuhnya dan kawalan pelancaran dengan akses pantas kepada kuasa sebenar kereta.
Rekaan luaran: berani, dramatik dan ‘diukir oleh angin’
Dari segi gayaan, pasukan reka bentuk Lotus menghasilkan satu susun atur kabin yang lebih ke depan bersama jarak roda panjang serta overhang pendek pada bahagian hadapan dan belakang. Secara keseluruhannya, kereta ini nampak ringan, seterusnya mencipta tanggapan ia sebuah kereta sports yang tinggi dan bukannya SUV.
Elemen signatur reka bentuk Eletre ialah rekaan ‘liang’ – satu prinsip aerodinamik yang membolehkan angin melalui kereta sama ada dari bawah, atas dan di sekelilingnya. Rekaan paling jelas ialah dua corong angin pada bonet yang menyalurkan angin dari bahagian bawah kereta. Contoh lain yang boleh dilihat ialah pada bahagian hadapan/belakang arca roda hadapan, bahagian belakang roda belakang dan di atas tiang D. Semua ini berfungsi mengurangkan halangan udara, sekali gus memberi lebih kecekapan dari segi peningkatan jarak, kelajuan dan prestasi.
Selain aspek aerodinamik, corong-corong dan saluran juga membantu kepada penampilan Eletre yang berotot. Bahagian sisi maskular, cermin utama yang condong bersama kawasan kaca yang kecil dan dua garis bumbung dan cantrail hitam meyempurnakan lagi reka bentuk tersendiri Hyper-SUV ini.
Bahagian hadapan Eletre menampilkan rekaan yang tajam dan menyerlahkan gayaan jelas seperti model Emira dan Evija. Bahagian belakang pula hadir dengan rekaan tiang D terapung yang unik dan diukir perkataan Eletre serta ‘bilah angin’ yang membantu mengurangkan rintangan udara. Jalur lampu LED yang boleh dinyalakan dalam empat warna itu bukan sahaja menunjukkan status pengecasan bateri, tetapi memainkan peranan dalam memberikan corak lampu apabila kereta dibuka – lampu luaran bergerak dalam jujukan pendek, selain gril aktif hadapan dan hendal pintu dibuka.
Ciri luaran standard yang lain termasuklah lampu utama Matrix LED dengan lampu tinggi, lampu nyalaan siang LED, lampu sisi LED, lampu kabus LED, lampu mengundur LED, lampu welcome home, pintu belakang bebas tangan dengan memori ketinggian bukaan, semburan air panas dan bumbung aluminium berwarna hitam berkilat. Varian Eletre S dan Eletre R ditambah dengan ciri cermin sisi auto malap, kaca privasi belakang dan pintu dengan ciri tutupan lembut. Eletre R juga menerima Carbon Pack sebagai ciri standard.
Eletre dipasang dengan tayar Pirelli P-Zero bersama rim aloi tempa 10 jejari bersaiz 22 inci berwarna perak. Eletre S didatangkan standard dengan tayar Pirelli P-Zero dan rim aloi tempa 10 jejari bersaiz 22 inci berwarna kelabu. Manakala Eletre R menggunakan tayar berprestasi tinggi Pirelli P-Zero CORSA dengan rim aloi tempa 10 jejari bersaiz 22 inci berwarna hitam berkilat. Untuk lebih personalisasi, pelanggan boleh memilih rim dengan lima rekaan berbeza.
Semua varian hadir standard dengan cakera brek ringan dan angkup enam omboh – warna hitam standard untuk Eletre dan pilihan warna bagi varian Eletre S dan Eletre R.
Warna luaran standard untuk Eletre dan Eletre S ialah kelabu (Kaimu Grey). Manakala Eletre R didatangkan dalam warna kuning (Solar Yellow). Pada majlis pelancaran, terdapat enam pilihan warna iaitu merah (Natron Red), hijau (Galloway Green), hitam (Stellar Black), kelabu (Kaimu Grey), kelabu (Blossom Grey) dan kuning (Solar Yellow).
Dimensi Lotus Eletre (mm):
Panjang | 5,103 |
Lebar dengan cermin sisi | 2,231 |
Tinggi | 1,630 (rim bersaiz 20 inci) 1,636 (rim bersaiz 22/23 inci) |
Tapak roda | 3,019 |
Tahap kelegaan tanah | 187 (rim bersaiz 20 inci) 194 (rim bersaiz 22/23 inci) |
Berat | 2,490kg |
Rekaan dalaman: premium tahap baharu buat Lotus
Eletre membawakan ruang kabin Lotus ke satu tahap baharu yang belum pernah ada sebelum ini. Reka bentuk berorientasikan prestasi dan rekaan teknikal itu kelihatan ringan, ia menggunakan material ultra premium untuk memberikan pengalaman luar biasa kepada pelanggan.
Kelestarian menjadi fokus utama kepada pasukan reka bentuk. Antara material yang digunakan ialah gentian mikro buatan premium dan tahan lasak yang 100 peratus boleh dikitar semula. Selain menjadi satu alternatif yang canggih dan mesra alam berbanding kulit, ia juga tidak mempunyai bau dan tahan lebih lama daripada kulit. Material-material keras pula ialah hasil kitar semula kemasan daripada produksi gentian karbon yang dipadatkan ke dalam resin untuk memberikan efek seperti marmar yang premium.
Ketiga-tiga varian didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk dengan kapasiti but 688liter dan 1,532 liter apabila kerusi belakang dilipat. Konfigurasi empat tempat duduk boleh didapati sebagai sebahagian daripada pilihan Executive Seat Pack.
Terdapat banyak ruang penyimpanan barang yang praktikal dalam Eletre. Ini termasuklah ruang dengan pengecasan tanpa wayar untuk telefon mudah alih, tempat pemegang botol minuman yang boleh diturunkan apabila hendak digunakan, poket pintu yang boleh memuatkan botol air satu liter dan di bahagian bawah lantai but.
Semua varian juga hadir dengan cermin pandang belakang tanpa bingkai auto malap, kolum stereng boleh laras secara elektrik empat cara dan stereng multi fungsi dengan ciri pemanas secara standard. Di samping port USB-C depan belakang, sistem kawalan suhu automatik empat zon, tempat duduk hadapan boleh laras secara elektrik 12 tetapan dengan memori, corong pendingin udara depan belakang yang boleh dilaras secara elektrik, serta cagak tempat duduk kanak-kanak i-Size pada kerusi belakang.
Varian Eletre S dan Eletre R menerima sil sisi beriluminasi (besi untuk Eletre), lampu ambien boleh ubah dan sistem kualiti udara. Eletre R juga hadir dengan pedal besi tahan karat sebagai ciri standard.
Infohibur dan teknologi: pengalaman digital bertaraf dunia
Sistem infohibur dalam Eletre menetapkan standard baharu dalam menawarkan pengalaman yang intuitif dan ketersambungan lancar dengan prestasi terbaik dalam kelasnya dari segi kesan visual dan maklum balas interaktif. Ia merupakan hasil kerjasama di antara pasukan Lotus di Warwickshire dan China yang berpengalaman luas dalam bidang User Interface (UI) dan User Experience (UX).
Ia dikuasakan oleh Sistem Operasi baharu – Lotus Hyper OS – dengan kuasa pemprosesan termaju daripada dua unit Qualcomm 8155 System-On-Chips. Kandungan 3D pada masa sebenar generasi seterusnya dan pengalaman mampu dicipta menggunakan teknologi ‘Unreal Engine’ daripada industri permainan video.
Eletre hadir dengan keserasian 5G secara standard yang menawarkan ketersambungan berterusan melalui satu aplikasi telefon pintar, kemas kini over-the-air (OTA) dan pembelian ciri berkaitan perisian. Pelanggan juga oleh mengunci dan membuka kenderaan menggunakan aplikasi telefon pintar.
Sistem infohibur Eletre boleh diakses melalui paparan terapung OLED HD sepenuhnya bersaiz 15.1 inci yang akan dilipat apabila tidak digunakan. Paparan OLED dengan satu billion warna ultra nipis daripada ECARX menawarkan paparan boleh ubah sepenuhnya melalui satu Driver Information Module (DIM) yang boleh sentiasa ditambah baik sepanjang hayat kereta menerusi kemas kini OTA.
Membentuk sebahagian daripada antara muka mesin manusia (HMI) Eletre ialah satu jalur di bahagian bawah panel instrument TFT bersaiz 8 inci yang ada di seluruh bahagian kabin. Cahaya akan bertukar warna untuk berkomunikasi dengan penumpang, sebagai contoh apabila menerima panggilan, suhu kabin berubah atau menunjukkan satus pengecasan bateri.
Di bahagian bawah lampu terdapat ‘teknologi reben’ yang terdiri daripada dua jalur halus dengan tebal kurang 30mm – satu untuk pemandu dan satu lagi buat penumpang yang berfungsi memaparkan maklumat berbeza seperti kenderaan serta perjalanan, pilihan muzik atau lokasi menarik berdekatan.
Maklumat juga boleh dipaparkan kepada pemandu menerusi paparan head-up yang menampilkan teknologi realiti tambahan (augmented reality, AR) yang menjadi ciri standard pada semua varian.
Semua elemen Eletre boleh dikawal secara digital dengan 95 peratus fungsinya dapat dicapai dalam tiga sentuhan pada skrin utama. Kawalan suara melalui teknologi pengecaman percakapan termaju juga ada disediakan.
Lotus turut bekerjasama dengan HERE Technologies untuk menawarkan perkhidmatan navigasi bersepadu kepada Eletre. Perkhidmatan itu termasuklah EV Routing, EV Range Assistant dan Predictive Routing yang boleh dikemas kini melalui OTA.
Dari segi sistem audio, Eletre dan Eletre R hadir standard dengan tetapan KEF Premium 15 unit pembesar suara berkuasa 1,380-watt bersama Uni-QTM dan teknologi bunyi keliling yang menawarkan pengalaman bunyi yang hiper realistik. Bagi memberi pengalaman pemanduan yang menyeronokkan, Eletre R turut menawarkan pilihan kepada pemandu untuk menukar kepada bunyi sport motor.
Varian Eletre S pula dilengkapi sistem KEF Reference dengan 23 unit pembesar suara berkuasa 2,160-watt bersama Uni-Q, Uni-Core dan teknologi bunyi keliling. Ia menawarkan prestasi tahap tinggi yang membolehkan volum subwoofer atau pembesar suara dikurangkan dengan signifikan.
Ciri keselamatan termaju; direka untuk masa depan
Lotus Eletre dilengkapi sistem keselamatan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) pintar komprehensif yang direka untuk masa depan. Jadi, ciri-ciri baharu boleh dimuat turun menerusi OTA.
Semua varian hadir dengan ciri Adaptive Cruise Control (ACC), satu sistem pemantauan pemandu, Rear Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert (RCTA), Front Cross Traffic Alert (FCTA), Lane Keep Assist dengan Lane Departure Warning / Prevention (LKA+), Blind Spot Detection, Traffic Sign Information (TSI), Front dan Rear Park Assist, Visual Park Assist serta Lotus Intelligent Dynamic Chassis Control.
Eletre juga dilengkapi dengan sistem LIDAR yang boleh diubah suai pertama di dunia bagi menyokong keseluruhan teknologi pemanduan autonomi dan boleh menerima pembangunan seterusnya. Perkara ini boleh dicapai kerana perkakasan itu sudahpun disepadukan. Keupayaan seterusnya boleh ditambah menerusi kemas kini perisian menerusi OTA apabila ia dibenarkan oleh garis panduan pasaran tempatan.
No Comment