Nissan X-Trail Kini Berwarna Merah Sempena Tahun Baru Cina
Untuk menyemarakkan lagi sambutan tahun Monyet (fire Monkey), Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) memperkenalkan warna merah baharu untuk Nissan X-Trail yang dikenali sebagai Flaming Red.
Dengan warna merah solid bersama kemasan berkilat, X-Trail berwarna Flaming Red itu jelas memberi sentuhan yang garang buat SUV terlaris di Malaysia ini.
Pengarah Pemasaran dan Perancangan Produk ETCM, Tan Keng Meng berkata, “Dengan memperkenalkan pilihan warna ini, kami percaya ia menambah kemeriahan untuk Nissan X-Trail sempena sambutan Tahun Baru Cina. Merah sememangnya warna yang penuh semangat – ia adalah warna cinta dan api, serta sering dikaitkan dengan keghairahan. Bagi masyarakat Cina, warna merah melambangkan nasib yang baik, kemakmuran dan kegembiraan. Apabila memandu sebuah X-Trail berwarna merah, digabungkan pula dengan penggayaan premium, kemampuan off-road dan teknologi tercanggih, ia memberi kenyataan bagi mempamerkan personaliti yang bertenaga, tidak takut menyahut cabaran dan dinamik.”
X-Trail boleh didapati di pasaran tempatan dalam dua varian iaitu 2.5L 4WD dan 2.0L 2WD. Model tertingginya, 2.5L 4WD dikusakan oleh enjin QR25DE-k2 dengan Twin CVTC yang mampu menawarkan kuasa maksimum 171PS @ 6,000rpm dan tork 233Nm @ 4,000rpm. Varian 2.0L 2WD pula menggunakan enjin MR20DD dengan sistem pancitan terus dan Twin CVTC, ia berupaya menjana kuasa sehingga 144PS @ 6,000rpm dan tork 200Nm @ 4,400rpm.
Kedua-dua varian ini dipasangkan dengan kotak gear Xtronic CVT Nissan generasi seterusnya bersama mode manual tujuh kelajuan demi menawarkan prestasi pemanduan mengujakan. Di samping sistem mode ECO untuk penjimatan bahan api yang lebih baik.
X-Trail berwarna merah yang dipasang tempatan ini mengaplikasikan teknologi Active Chassis Control termaju demi memastikan pengalaman pemanduan yang lancar dan menyenangkan. Ciri seperti Active Ride Control dan Active Engine Brake disifatkan sebagai yang pertama di dunia. Manakala sistem Active Trace Control pula adalah yang pertama buat Nissan.
Nissan X-Trail baru-baru ini dianugerahkan sebagai SUV Keluarga Terbaik Malaysia 2015 dan 2015 ASEAN Car of the Year (tempat ketiga) pada acara ASEAN Car of the Year Award (ACOTY) oleh iCar Asia Limited.
Ditawarkan dalam unit terhad, Nissan X-Trail dengan warna Flaming Red ini ditawarkan pada harga RM159,164.06 untuk 2.5L 4WD dan RM136,976.96 bagi varian 2.0L 2WD (harga di atas jalan termasuk GST tanpa insurans di Semenanjung Malaysia). Nissan X-Trail ini hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).
Tempahan untuk Nissan X-Trail dengan warna baharu ini boleh dibuat di semua bilik pameran sah Nissan di seluruh negara.
Bagi memeriahkan lagi sambutan Tahun Baru Cina, ETCM turut menganjurkan Kempen ‘Drive to Prosperity’ yang berlangsung sehingga akhir Januari 2016 hingga Tahun Baru Cina. Para pelanggan boleh membeli dan mendaftar sebuah Nissan sepanjang tempoh promosi untuk berpeluang menyertai dan memenangi hadiah perkakasan elektrik jenama SHARP bernilai lebih daripada RM128,888.
Maklumat lanjut, para pelanggan boleh menghubungi Khidmat Pelanggan Nissan di talian Tol Percuma 1800-88-3838 atau layari laman web: www.nissan.com.my.
No Comment