PROTON Yakin Pulih Dengan Sokongan Kerajaan Malaysia
Merujuk kepada pengumuman rasmi yang dibuat oleh Yang Berhormat Dato ‘Sri
Mustapa Mohamed, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (“MITI”), PROTON Holdings Berhad
(“PROTON” atau “Syarikat”) merakamkan setinggi penghargaan kepada Kerajaan Malaysia (“Kerajaan”) di atas
sokongan yang diberikan.
“Pengumuman oleh Kerajaan akan menjadi pemangkin kepada pelan pemulihan PROTON yang merangkumi
pelancaran tiga model baharu tahun ini, bermula dengan Perdana. Dengan pelantikan pengurusan yang baharu,
kami yakin syarikat akan kembali pulih,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dato’ Ahmad Fuaad Kenali.
Syarikat akan terus meningkatkan produk dan perkhidmatannya untuk memenuhi kehendak pelanggan dengan
lebih baik. Setakat ini, Syarikat telah menghasilkan pelbagai model dalam semua segmen, sama ada melalui
keupayaan yang dibangunkan sendiri atau kerjasama yang terjalin dengan syarikat pengeluar kereta lain.
“PROTON juga sentiasa berhubung dengan rakan-rakan strategik untuk mencari peluang kerjasama untuk
mempertingkatkan penawaran produk dan mengurangkan masa untuk memasarkan produk. Bantuan dari Kerajaan
akan memperkukuh keyakinan rakan kongsi perniagaan kami,” tambah Dato’ Fuaad.
PROTON juga memahami bahawa kemampanan Syarikat akan memberi kesan kepada ekosistem industri
automotif tempatan yang melibatkan vendor, pembekal, peniaga, pengusaha kenderaan pra-milik dan pelanggan
kami yang selama ini setia dan menyokong PROTON.
“Kami menghargai bantuan yang diberikan dan mengakui semua fakta yang diketengahkan oleh Kerajaan. Kami
mengalu-alukan penubuhan pasukan petugas itu dan mengalu-alukan kerjasama dengan lebih rapat demi
pertumbuhan masa depan PROTON,” Dato’ Fuaad meneruskan.
“Bagi pihak Warga PROTON, ini sudah tentu akan meningkatkan semangat 12,000 orang pekerja PROTON,” akhiri
Dato’ Fuaad.
No Comment