Pengenalan Sulung Jaguar XF Di Malaysia
Jaguar Land Rover (Malaysia) Sdn Bhd (JLRM) melancarkan model Jaguar XF Serba Baharu di Malaysia sebagai penerusan usaha penawaran terbaharu bagi barisan kenderaan sedan Jaguar.
Dibangun berdasarkan binaan kerangka aluminium-intensif yang lebih kukuh dan ringan, Jaguar XF Serba Baharu diposisikan di antara model Jaguar XE yang dilancarkan sebelum ini dan model paling canggih Jaguar, model XJ. Ia merangkumkan paduan yang terdiri daripada pendekatan reka bentuk gaya unggul, keupayaan dinamik, mewah serta kelengkapan teknologi setanding kenderaan segmen perniagaan premium.
Jaguar XF Serba Baharu dipersembahkan dalam rekaan yang dinamik dengan sentuhan reka bentuk ala coupe yang menggabungkan keseimbangan keseluruhan, permukaan elegan serta garis badan sempurna yang sentiasa menjadi tanda khas bagi barisan kenderaan Jaguar sebelumnya, dengan jarak antara roda yang lebih panjang, ruang dalaman kabin yang lebih luas serta kecekapan aerodinamik yang lebih baik.
Menurut Pengarah Urusan JLRM, Datuk Aishah Ahmad, Jaguar XF Serba Baharu menjadi penawaran terkini yang paling menonjol bagi segmen kenderaan sedan perniagaan premium.
“Model XF memiliki semua ciri mewah yang dimiliki Jaguar, dengan pendekatan reka bentuk aslinya termasuk garis badan yang sinonim dengan jenama ini. Ia tidak sekadar sedap mata memandang; Jaguar XF Serba Baharu lebih jitu dalam pemanduan dengan penggunaan binaan aluminium-intensif yang lebih ringan dengan nisbah keseimbangan 50:50 yang menghampiri kesempurnaan. Jaguar XF Serba Baharu ini sememangnya pengganti paling layak bagi model terdahulu, yang telah menerima pengiktirafan dan anugerah dan akan menjadi kesinambungan terhadap pencapaian berkenaan,” ujar beliau.
Untuk pasaran Malaysia, Jaguar XF Serba Baharu yang diimport sepenuhnya ini ditawarkan dalam dua pilihan varian; XF Prestige dan XF R-Sport dengan harga bermula dari RM450,000 dan RM460,000 masing-masing. Harga termasuk GST, tetapi tidak termasuk pendaftaran, cukai jalan dan insurans.
Bagi pengalaman pemilikan premium, setiap model XF dilengkapi dengan Jaguar Care, program eksklusif yang merangkumi jaminan lima tahun, servis lima tahun dan bantuan jalanan selama tiga tahun.
Kedua-dua varian ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter i4 turbocaj petrol dengan janaan kuasa maksimum 240PS dan 340Nm tork yang dipadankan dengan sistem transmisi automatik elektronik 8-kelajuan dengan Jaguar Sequential Shift™.
Varian Prestige didatangkan dengan ciri tersendiri seperti rim 15 jejari Lightweight 17 inci, tempat duduk kulit, kemasan plat besi khas Jaguar serta stereng kulit dengan pelbagai fungsi kawalan.
Berlainan pula dengan XF R-Sport. Ia dilengkapi dengan sistem gantungan sport, rim 10 jejari Helix 18 inci dan kit badan R-Sport, stereng kulit khusus R-SPort dan kemasan plat besi R-Sport.
Kedua-dua varian ini turut dilengkapi dengan ciri-ciri teknologi termaju, selari dengan imej sedan perniagaan premium yang ingin ditonjolkan. Antaranya termasuk JaguarDrive Control, Electric Power Assisted Steering (EPAS), Torque Vectoring dan All Surface Progress Control (ASPC).
Jaguar XF Serba Baharu ini menerapkan penggunaan binaan kerangka aluminium-intensif untuk membolehkan pengurangan berat dicapai; ia sehingga 190 kilogram lebih ringan berbanding versi terdahulu dengan 28 peratus lebih teguh. Ini menjadi teras kepada keselesaan serta perincian dinamik pemanduan yang mampu dicapai oleh Jaguar XF Serba Baharu.
Rekaan Double Wishbone aluminium pada sistem gantungan hadapan, yang disifatkan sebagai konfigurasi terbaik untuk bahagian hadapan kenderaan, dibangunkan untuk menyamai ketepatan kendalian serta maklum balas stereng yang terdapat pada model Jaguar F-Type. Digabungkan dengan sistem Integral Link pada sistem gantungan belakang serta dengan nisbah agihan 50:50, Jaguar XF Serba Baharu merupakan sebuah jentera pemanduan yang padu.
Ciri Electric Power Assisted Steering (EPAS) pada Jaguar XF Serba Baharu ini pula menawarkan maklum balas stereng, kawalan serta bantuan kuasa yang sedia membantu pemandu dalam semua situasi, sama ada ketika dalam kelajuan tinggi mahupun ketika membelok perlahan.
All Surface Progress Control (ASPC), sebuah sistem yang mengawal input brek dan pedal minyak untuk menentukan cengkaman terbaik, dalam apa juga permukaan jalan dan cuaca, tentunya dalam kelajuan rendah, memberikan keyakinan tambahan kepada pemandu dalam keadaan jalan licin.
Jaguar XF Serba Baharu memiliki panjang 4,954mm; pada 2,960mm, jarak antara rodanya kini 51mm lebih panjang berbanding versi terdahulu, manakala jarak roda depan ke bahagian hadapan kenderaan dikurangkan sebanyak 66mm. Tempat duduk penumpang belakang pada Jaguar XF Serba Baharu ini pula mendahului dalam kelasnya; tambahan 15mm ruang kaki, 24mm lebih luas bagi ruang lutut serta 27mm lebih luas bagi ruang kepala berbanding model terdahulu. Bacaan kecekapan aerodinamiknya juga lebih baik; dari Cd 0.29 bagi model sebelumnya kepada Cd 0.26 bagi model terbaharu ini.
Ruang kabin Jaguar XF Serba Baharu ini merupakan gandingan antara material mewah kontemporari dengan ketelitian kemasan, kualiti tinggi yang sudah dikenali yang melambangkan kemewahan kenderaan Jaguar serta dilengkapkan lagi dengan penawaran teknologi termaju. Dengan ciri seperti skrin TFT 12.3 inci boleh alih pada kluster utamanya yang ditawarkan sebagai pilihan, begitu juga dengan sistem maklumat dan hiburan InControl Touch, Jaguar XF Serba Baharu ini adalah model Jaguar yang paling lengkap rangkaian perhubungan dan teknologinya.
Untuk maklumat lanjut berkaitan Jaguar XF Serba Baharu ini serta barisan model lengkap Jaguar di Malaysia, layari www.jaguar.com.my atau kunjungi pengedar sah kami – SISMA Auto Glenmarie, Sime Darby Auto ConneXion Petaling Jaya, dan SISMA Auto Kuala Lumpur.
No Comment