MINI Malaysia Ingatkan Pengguna Jalan Raya Supaya Lebih Berhemah Menerusi Kempen #flashlightssavelives
MINI Malaysia hari ini mengingatkan para pemandu dan pengguna jalan raya agar berfikir semula tentang kelajuan dan memperlahankan kenderaan masing-masing sepanjang musim cuti sekolah pertengahan tahun yang akan berakhir pada hujung minggu ini. Terutama ketika jumlah kemalangan jalan raya biasanya akan meningkat.
Jenama itu juga mahu orang ramai agar lebih berhati-hati dan bersikap sederhana, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang memandu dengan laju sepanjang bulan Ramadhan yang mulia ini.
Ketika memperkenalkan #flashlightssavelives, satu eksperimen dan pengumuman khidmat masyarakat di media sosial, MINI Malaysia telah menggerakkan model-model MINI dengan bantuan MINI Club Malaysia ke sepuluh laluan lebuh raya yang kerap berlaku kemalangan di dalam negara. Sebaik sahaja berada di sana, kereta-kereta berkenaan akan menyala dan mengelipkan lampu utama setiap lima minit untuk menggalakkan pemandu dari arah bertentangan supaya memperlahankan kenderaan masing-masing.
Langkah mengelipkan lampu yang mudah dan kreatif itu adalah berdasarkan kepada gestur yang biasa diamalkan oleh pemandu di Malaysia untuk memberitahu pemandu lain terdapat bahaya atau perangkap laju oleh pihak polis.
Justeru, MINI Malaysia mengetengahkan inisiatif ini ke dalam kempen keselamatan jalan raya anjurannya. Ia juga menggalakkan pengguna jalan raya untuk menggunakan isyarat tersebut supaya lebih berhati-hati dan berhemah ketika memandu.
Antara lokasi yang kerap berlaku kemalangan dan bakal dilawati ialah Lebuh Raya Cheras-Kajang, Lebuh Raya KL ke Rawang, Lebuh Raya Kajang ke Seremban dan Jambatan Pulau Pinang. Kempen #flashlightssavelives ini kemudian didokumentasikan ke dalam satu video kajian kes yang telah disiarkan di laman Facebook dan YouTube MINI Malaysia.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Han Sang Yun berkata, “Kempen #flashlightssavelives merupakan lanjutan kepada program Safety 360° oleh jenama BMW. Kami juga mengingatkan semua keluarga mengenai keselamatan anak-anak ketika mereka di dalam kereta pada setiap hari. Kini, kami harap dapat mendekati lebih ramai pemandu dan pengguna jalan raya di Malaysia, serta mengingatkan mereka agar membantu satu sama lain untuk lebih berhati-hati dan memandu dalam kelajuan sederhana apabila berada di atas jalan raya. Terutama sepanjang waktu puncak ini.”
Menurut Han lagi, program Safety 360° oleh BMW Group Malaysia mula diperkenalkan oleh BMW Motorrad yang menasihatkan penunggang motosikal di dalam negara supaya mendapatkan teknologi dan kelengkapan menunggang yang boleh membuatkan mereka lebih selamat. Sejak itu, program tersebut telah dikembangkan oleh jenama BMW dan MINI sebagai sebahagian daripada fokus holistik BMW Group Malaysia untuk mempromosikan inovasi, etika dan tingkah laku yang lebih selamat di atas jalan raya.
No Comment