Tin Sritrai Hadapi Cabaran Hebat Di Siri TCR Asia Di Thailand
Siri perlumbaan TCR Asia kembali ke Litar Antarabangsa Chang di Buriram untuk kali kedua bagi musim 2016. Kali ini, peserta-peserta disambut oleh cuaca panas terik yang melebihi 30 darjah Celsius. Suhu di litar adalah setinggi 50 darjah manakala suhu kabin pula mencatat 60 darjah.
Selepas pembuka musim yang mengasyikkan di Korea Selatan, aksi di Thailand di jangka tidak kurang hebatnya. Walaupun begitu, pelumba sensasi Roelof Bruins dari pasukan Viper Niza Racing terpaksa mengundurkan diri atas sebab komitmen luar dan digantikan oleh Jack Lemvard.
Lemvard membuat debutnya di acara TCR Thailand di litar yang sama tiga minggu lalu dengan aksi perlumbaan yang baik di belakang pelumba berpengalaman kelahiran Belanda, Carlo Van Dam. Beliau yang memandu SEAT Leon Vattana Motorsport menghabiskan sesi latihan Jumaat lalu di belakang pendahulu siri Tin Sritrai.
Walaupun gembira dengan prestasinya, Sritrai terpaksa mengatur strategi pemanduan untuk memenuhi komitmennya sebagai pemandu Ferrari 458 Challenge di GT Asia pula.
Ketiga terpantas adalah Andy Yan dari pasukan Liqui Moly Engstler, yang memandu laju untuk menghabiskan sesi latihan hanya 0.3 saat di belakang Sritrai. Rakan sepasukannya Filipe de Souza pula menduduki tempat kelima. Berada di antara kedua-dua pemandu pasukan Liqui Moly Engstler itu pula adalah Narasak Ittiritpong yang memandu Honda Civic untuk pasukan Vattana Motorsport.
Perlumbaan akan berlangsung Ahad ini dengan dua perlumbaan 15 pusingan.
No Comment