UMW Toyota Motor Panggil Balik Toyota Prius dan Lexus CT200h
UMW Toyota Motor telah membuat dua panggilan balik atau ‘kempen servis istimewa’ untuk model Toyota Prius dan Lexus CT200h yang dijual di Malaysia, berikutan pengumuman oleh Toyota Motor Corporation (TMC).
Panggilan balik pertama melibatkan beg udara tirai yang menjejaskan lebih dari 3,500 unit Toyota Prius buatan antara April 2009 dan April 2012, dan 1,700 unit Lexus CT200h buatan antara Disember 2010 dan April 2012.
Dalam kedua-kedua model berkenaan, beg udara tirai terletak di rel bumbung sebelah kiri dan kanan. Setiap ‘inflator’ atau pengembung beg udara tersebut mengandungi gas termampat dalam satu kebuk dan ‘propellant’ dalam satu kebuk lagi; kedua-dua kebuk ini dikimpal bersama. Sesetengah pengembung ini dipercayai mempunyai keretakan kecil pada bahagian yang dikimpal yang boleh memisahkan kebuk-kebuk tersebut dalam masa jangka panjang. Jika terpisah, beg udara boleh pecah dan pengembung tersebut boleh tercampak ke dalam kabin dan mencederakan penumpang.
Semasa dalam servis, ‘retention bracket’ akan dipasangkan pada pengembung beg udara tirai bagi menghalangnya dari terkeluar. Kerja pemasangan akan mengambil masa 2 hingga 4 jam, bergantung kepada jadual pusat servis.
Panggilan balik kedua pula adalah berkenaan kanister arang atau kawalan pelepasan penyejatan yang dipasang pada tangki minyak. Ia membabitkan lebih kurang 6,000 unit Toyota Prius buatan antara April 2009 dan November 2013, dan 3,000 unit Lexus CT200h buatan antara Disember 2010 dan Disember 2013.
Dikhuatiri keretakan boleh berlaku di bahagian ini akibat reka bentuk yang kurang sesuai. Keretakan itu boleh menjadi lebih besar dari semasa ke semasa, dan akan menyebabkan kebocoran bahan api apabila tangki minyak diisi penuh.
Unit yang terjejas akan digantikan dengan yang baru dalam masa 2 hingga 3 jam, bergantung kepada jadual pusat servis.
Tiada model Toyota atau Lexus lain yang terlibat dalam kedua-dua panggilan balik ini.
Pemilik kenderaan yang terlibat akan dimaklumkan dan diminta untuk membawa kereta mereka ke mana-mana pusat servis Toyota dan Lexus bertauliah untuk kerja pembaikan. Semua kos akan ditanggung sepenuhnya oleh UMW Toyota Motor.
Mana-mana pemilik yang tidak mendapat notis boleh mendapat penjelasan lanjut di talian 1800-8-TOYOTA (869682) atau 1800-8-LEXUS (53987).
No Comment