Lotus Elise Race 250 – Senjata Litar
Tidak banyak pengeluar kereta yang mempunyai kepakaran dalam menghasilkan kenderaan untuk kegunaan jalan raya dan juga litar lumba. Lotus adalah salah satu jenama yang mempunyai kemampuan sebegini dan Elise Race 250 ini adalah kereta litar terbaru syarikat itu.
Layak untuk banyak siri perlumbaan di seluruh dunia, Elise ini direka khas untuk beraksi di litar lumba. Ianya dikuasakan oleh enjin supercaj berkapasiti 1.8 liter empat silinder yang menghasilkan 243 hp pada 7,200 rpm dan 250 Nm tork di antara 3,500 dan 5,500 rpm.
Segala komponen yang terdapat pada Elise Race 250 dibangunkan untuk memperbaiki catatan masa. Ini termasuk penyerap hentak boleh laras Nitron, brek pad yang dipertingkat, tayar Yokohama A048, tempat duduk gentian karbon yang diluluskan FIA lengkap dengan tali pinggang keledar lumba, roda stereng yang boleh dicabut serta cermin belakang polikarbonat.
Ia juga mempunyai pakej aero yang lengkap termasuk ‘splitter’ hadapan, ‘diffuser’, sambungan lantai dan juga sayap belakang. Hasilnya, Elise Race 250 menghasilkan jumlah downforce bersamaan 66 kg pada 160 km/j, dan 155 kg pada kelajuan maksimum 248 km/j. Kabinnya juga dilengkapi dengan ‘roll cage’, pemadam api, dan isolator battery.
Kehadiran Elise Race 250 bertepatan dengan sambutan ulangtahun ke-50 penubuhan kilang syarikat itu di Hethel, Norfolk.
No Comment