Pandulah Trak Scania Dan Menangi Hadiah Di Ekspo Bas, Trak Dan Komponen Johor 2016 (JBTC)
Sesiapa sahaja dengan lesen memandu yang sah akan mendapat peluang untuk memandu trak dan menguji kebolehan masing-masing dalam Pertandingan Pemandu Scania – Edisi JBTC (Edisi SDC-JBTC) di Ekspo Bas, Trak dan Komponen Johor 2016 (JBTC) pada hujung minggu ini.
Pertandingan ini yang akan diadakan dalam kawasan terkawal selama tiga hari (12–14 Ogos) dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang dibuka kepada semua orang awam yang memiliki lesen memandu kereta standard untuk menentukan 4 orang pemenang setiap hari yang akan menerima bag galas Scania yang eksklusif.
Edisi SDC-JBTC merupakan pertandingan mini untuk memberi peluang kepada para pengunjung ekspo di Johor untuk merasai acara utama Pertandingan Pemandu Scania Asia Tenggara 2016-2017 (SDC SEA 2016-2017) yang sebenar. Dengan adanya acara ini, Scania berhasrat untuk terus meningkatkan status dan standard pemanduan kenderaan berat komersial, terutamanya dari segi keselamatan.
Acara utama SDC SEA 2016-2017 yang telah dilancarkan pada 1 Ogos 2016, akan mengemukakan 20 orang finalis untuk bersaing dengan calon-calon dari Malaysia, Singapura, Filipina dan Myanmar dalam kategori trak dan bas pada Ogos 2017.
Matlamat pertandingan mini pula ialah untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan orang awam tentang cabaran yang dihadapi pemandu trak dan bas setiap hari, dan sesiapa sahaja yang ingin menguji kebolehannya boleh menyertai SDC SEA 2016-2017 dalam ekspo tersebut.
Pelancaran JBTC akan dilaksanakan oleh YBhg Tan Sri Dato’ Seri Dr Syed Hamid Syed Albar, Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bersama-sama Scania Malaysia selaku penaja Platinum. Scania akan menunjukkan pelbagai penyelesaian pengangkutan yang ditawarkannya untuk meningkatkan keberuntungan pelanggan pada majlis tersebut.
“Pemandu terbaik dan paling selamat merupakan pemandu yang mendapat khidmat sokongan. Ini selaras dengan tema JBTC “Kurangkan Had Laju – Selamatkan Nyawa”. Oleh itu, Scania akan memperkenalkan khidmat sokongan pelanggannya, Connected Services – yang terdiri daripada Pengenalan Kenderaan, Latihan Pemandu, Panduan Pemandu, Sokongan Pemandu dan Sistem Pengurusan Angkatan.
“SDC bermula di Sweden dan telah berkembang menjadi sebuah inisiatif global yang mendapat sambutan daripada 200,000 peserta dari 50 lebih negara menjangkau dekad yang lalu. Di Scania, kami yakin pemandulah yang merupakan aset terpenting bagi setiap operator syarikat pengangkutan untuk mencapai taraf keselamatan, keberkesanan kos bahan api dan pemanduan mesra alam yang terbaik,” kata Ian Tan, Pengurus Pemasaran dan Komunikasi Scania Asia Tengara.
No Comment