LaFerrari ke-500 Akan Dibina Untuk Bantu Mangsa Gempa Bumi Itali
Seperti yang anda mungkin tahu, Ferrari hanya mengeluarkan 499 unit LaFerrari dan semuanya telah pun habis dijual pada tahun lalu. Namun, syarikat itu telah mengumumkan yang ia akan mengeluarkan satu lagi unit LaFerrari bagi tujuan mengutip dana bantuan untuk mangsa gempa bumi yang melanda bahagian tengah Itali baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan ringkas, Ferrari mengesahkan yang ia akan melelong unit ke-500 itu, namun tarikhnya tidak diumumkan. Bila proses pembuatan bermula juga tidak diketahui. Ferrari kini dalam proses membina LaFerrari Spider yang akan membuat kemunculan di Paris Motor Show pada bulan hadapan.
LaFerrari mempunyai 950 hp dan 970 Nm hasil dari gabungan mantap sebuah motor elektrik dan enjin 6.2 liter V12 yang dipadankan dengan kotak gear dwi-klac tujuh kelajuan. Ia hanya memerlukan kurang tiga saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, dengan kelajuan maksimum lebih dari 350 km/j.
Ia dijual pada harga kira-kira USD1.4 juta (RM5.8 juta), namun lelongan ini pasti akan membuatkan harganya berlipat ganda.
No Comment