Hyundai i30 Baharu Utamakan Gaya dan Teknologi
Hyundai Motor telah memperkenalkan i30 generasi baharu yang akan dijual bermula awal tahun 2017. Hatchback itu disasarkan kepada golongan pembeli yang semakin terdorong ke arah teknologi, gaya individu dan fleksibiliti.
Menurut syarikat Korea Selatan itu, kualiti dan kebolehpercayaan i30 dijamin oleh pakej waranti lima tahun tanpa had perbatuan.
Antara teknologi terbaru yang disertakan adalah sistem Apple CarPlay, Android Auto dan pengecasan tanpa wayar untuk telefon pintar. Ciri-ciri keselamatan pula merangkumi Autonomous Emergency Braking, Smart Cruise Control, Lane Keeping Assist System, Driver Attention Alert dan Blind Spot Detection.
Oleh kerana reka bentuk memainkan peranan penting di pasaran Eropah, i30 terkini didatangkan dengan rupa yang lebih bersegi dengan garisan-garisan yang lebih menyerlah berbanding model terdahulu.
Barisan jurutera pusat teknikal Hyundai Motor Europe di Jerman mempertingkatkan prestasi pemanduan i30 melalui program ujian yang ketat yang dijalankan di serata Eropah serta di litar Nürburgring Nordschleife yang terkenal. Hasilnya, badan i30 lebih kukuh dan ringan dengan 53 peratus Advanced High Strength Steel manakala sterengnya 10 peratus lebih tepat.
Rangkaian kuasa yang akan ditawarkan terdiri dari tiga enjin petrol dan satu enjin 1.6 liter turbo diesel dengan tiga peringkat kuasa dan pelepasan CO2 serendah 89 gram setiap km. i30 juga model Hyundai pertama yang didatangkan dengan enjin 1.4 liter T-GDI turbo petrol baharu yang menghasilkan 140 PS.
Tambah Hyundai, beberapa model berlainan akan dihasilkan menggunakan i30 sebagai asas. Antaranya adalah model berprestasi tinggi versi ‘N’ yang pertama yang juga akan dikeluarkan pada tahun hadapan.
No Comment