Nissan Sentra SR Turbo Buat Penampilan Sulung di Miami
Nissan Sentra bukanlah kereta yang selalu dikaitkan dengan kuasa dan prestasi, namun persepsi itu boleh berubah dengan adanya versi SR Turbo yang diperkenalkan di Miami International Auto Show 2016.
Model untuk pasaran Amerika Syarikat itu menampilkan enjin turbo Direct Injection Gasoline (DIG) bersesaran 1.6 liter yang menghasilkan 188 hp dan 240 Nm, iaitu 64 hp dan 70 Nm lebih banyak dari enjin 1.8 liter biasa sebelum ini.
Untuk membantu mengendalikan kuasa dan tork yang lebih tinggi, Sentra SR Turbo juga didatangkan dengan struktur badan yang lebih kukuh, sistem stereng yang lebih tepat, brek cakera depan besar, transmisi manual enam kelajuan atau automatik Xtronic mod manual dan penalaan suspensi unik. Hasilnya adalah pecutan, pengendalian serta keselesaan yang lebih baik.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah moonroof berkuasa dan lencana SR Turbo. Pakej Premium yang merupakan satu-satunya pakej yang ditawarkan untuk model itu merangkumi Blind Spot Warning, Rear Cross Traffic Alert, tempat duduk kulit dan sistem audio Bose dengan lapan pembesar suara.
Seperti varian Sentra SR yang lain, Sentra SR Turbo dilengkapkan dengan lampu rendah LED, panel sisi, spoiler belakang dengan lampu brek LED bersepadu, lampu kabus, lampu isyarat LED, ekzos dengan kemasan krom dan rim aluminium 17 inci yang dibalut tayar untuk semua jenis musim dalam saiz 205/50.
Di bahagian dalam, Sentra SR Turbo mendapat trim sporty, paparan sebesar lima inci dan sistem pengecaman suara Siri Eyes Free.
No Comment