Proton Saga 2016: Spesifikasi dan Ulasan Ringkas
Model ketiga Proton tahun ini iaitu Saga baharu akan dilancarkan dalam masa beberapa hari sahaja lagi. Tempahan untuk sedan kompak itu telah pun dibuka bermula hari ini, dengan harga dianggarkan bermula dari RM37,000 hingga RM46,000.
Seperti Persona yang baru sahaja memasuki pasaran, Saga akan ditawarkan dalam empat varian iaitu Standard (manual), Standard (automatik), Executive (automatik) dan Premium (automatik).
Keempat-empat varian dikuasakan oleh enjin 1.3 liter VVT dengan 94 hp dan 120 Nm tork yang turut didapati pada Iriz 1.3. Varian manual adalah jenis Getrag lima kelajuan, manakala varian automatik menggunakan CVT jenama Punch yang sama seperti yang digunakan pada Persona.
Dari segi kelengkapan, model Premium dilengkapi dengan ciri-ciri baharu seperti ECO Drive Assist (penjimatan sehingga 5.4 liter setiap 100 km), sensor keliling, lampu kabus belakang, Hill-hold Assist, Electronic Stability Control (ESC) dengan Traction Control dan juga Brake Assist.
Varian itu juga diiktiraf empat bintang dalam penilaian keselamatan ASEAN NCAP.
Selain dari roda stereng, konsol tengah dan lubang penyaman udara baharu, bahagian kabin Saga tidak banyak berubah dari segi rekaan. Bergantung kepada varian, ciri-ciri baharu yang boleh didapati termasuklah kamera undur, dua pengecas USB untuk penumpang belakang dan tapak ISOFIX.
Kerusi belakang juga boleh dilipat, mendedahkan but sebesar 420 liter. Tahap NVH (Noise, Vibration and Harshness) juga dikurangkan untuk lebih keselesaan.
Apa pendapat kami tentang Saga 2016?
Dalam satu prebiu eksklusif di Shah Alam yang juga dihadiri media lain, kami diberi peluang untuk menyaksikan pesaing Perodua Bezza tersebut dengan lebih dekat lagi, namun atas sebab-sebab yang jelas penggunaan kamera dan telefon adalah dilarang.
Dari segi reka bentuk, Saga baharu membawa imej yang lebih segar dan berani, terutamanya jika dilihat dari tepi di mana garis sisinya lebih menonjol. Rekaan muka hadapan adalah sedikit berbeza dengan Iriz dan Persona, namun DNA ‘Proton Wings’ masih jelas kelihatan.
Bahagian belakangnya pula tampil lebih rendah manakala garis penutup but lebih melengkung dari sebelum ini. Rekaan lampu belakang juga lebih besar dan kedua-duanya dihubungkan dengan kemasan krom. Menggunakan platform yang sama dengan model sedia ada, saiz Saga tidak banyak berubah kecuali ia lebih panjang dan lebih rendah.
Jarak antara roda kekal, namun ruang kaki penumpang belakang terasa lebih besar dan ini dikatakan hasil dari rekaan semula kerusi hadapan. Namun begitu, ‘backrest’ atau tempat menyandar kerusi belakang terlalu rendah dan ini dilihat akan menjejaskan keselesaan penumpang.
Kami juga sempat memandu model tersebut di litar ujian Proton. Apa yang ketara, Saga kini jauh lebih senyap walaupun dipandu melebihi 120 km/j. Bunyi bising dari angin dan tayar ‘disembunyikan’ dengan begitu baik manakala gegaran enjin nyata berkurang dengan penggunaan hanya tiga tapak berbanding empat sebelum ini.
Sama seperti Persona, CVT yang digunakan lebih senyap dan hanya mengaum apabila dipaksa bekerja keras. Dengan talaan pada Transmission Control Unit (TCU), transmisi itu kini lebih lancar ketika kenderaan bergerak perlahan, tidak seperti model FLX. Kuasa dari enjin juga disalurkan dengan konsisten, menghasilkan pecutan yang meyakinkan dan cukup bertenaga untuk sebuah enjin bersesaran 1.3 liter.
Walaupun mengekalkan penggunaan sistem stereng hidraulik, pengendalian terasa lebih responsif dan pusingan roda stereng juga masih cukup ringan untuk pemanduan harian. Menurut Proton, sedikit talaan telah dilakukan pada gandar hadapan dan ini termasuk penggunaan ‘strut tower brace’ dan kadar spring yang lebih tinggi.
Dengan kemampuan untuk memecut sehingga 140 km/j di atas permukaan condong litar ujian tersebut, tidak banyak yang perlu diperkatakan tentang pengendalian dan kestabilan Saga baharu.
Kesimpulannya, Proton Saga 2016 mempunyai potensi yang tinggi untuk menarik pembeli balik kepada jenama tempatan ini. Baik yang sudah bekeluarga, bujang mahupun mereka yang ingin membeli kereta kedua, Saga dilihat mampu memenuhi keperluan pelbagai golongan pengguna dengan tambahan pelbagai ciri-ciri baharu.
Tetapi apa yang penting adalah memastikan produk yang dihasilkan berkualiti tinggi setaraf dengan kenderaan berjenama asing. Walaupun ia diletakkan sebagai model ‘entry-level’, kualiti dan kekemasan patut dititikberatkan/
No Comment