Sepang Buka South Paddock dan Paddock Chalet
Sepang International Circuit (SIC) telah mengumumkan pembukaan dua fasiliti terbarunya iaitu South Paddock dan Paddock Chalet bersempena dengan 2016 Formula 1 Petronas Malaysia Grand Prix yang akan diadakn dari 30 September hingga 2 Oktober ini.
Menurut SIC, pembinaan pusat kemudahan itu bermula pada 21 Mei tahun ini dan kedua-duanya berjaya disiapkan dalam masa 16 minggu. Paddock Chalet menggantikan chalet sementara yang sebelum ini didirikan di tempat yang sama manakala South Paddock adalah bangunan baru yang dibina menggunakan bahan-bahan terpakai dari chalet sementara tersebut.
Bangunan South Paddock berketinggian dua tingkat itu direka khas demi menyediakan kawalan pencahayaan dan perteduhan untuk lorong pit. Selain itu, bumbung yang tinggi juga menjamin pengudaraan yang cukup untuk penonton tanpa mengganggu penglihatan penonton yang berada di grandstand.
Ia menempatkan tiga modul dengan enam pit garaj yang berkeluasan 80 meter persegi setiap satu. Sebuah modul boleh diubah suai menjadi tiga pit garaj bergantung kepada keperluan dan saiz pasukan yang menggunakannya. Ia juga menyediakan Hospitality Club lengkap dengan dapur komersial, bilik operasi, pejabat-pejabat perlumbaan, dan kemudahan-kemudahan awam seperti tandas dan bilik sembahyang.
Paddock Chalet pula menampilkan 14 buah chalet yang dibahagikan kepada dua barisan yang mempunyai tiga modul dan dua unit individu setiap satu. Setiap modul mempunyai sepasang chalet berukuran 190 meter persegi manakala unit individu tersebut adalah sebesar 250 meter persegi. Ia direka untuk membangkitkan suasana resort yang mengutamakan privasi.
Ruang dalamannya yang berhawa dingin boleh dikonfigurasikan menjadi ruang makan, pejabat serta bilik persendirian untuk pemandu. Kemudahan dapur dan infrastruktur komunikasi lengkap juga disediakan bagi setiap chalet.
Selain itu, SIC juga telah membina pintu masuk baharu di bahagian paddock yang boleh digunakan untuk sesi fotografi ataupun temu bual.
No Comment