Mercedes-Benz C-Class Cabriolet dan SLC Roadster Dilancarkan
Mercedes-Benz Malaysia telah melancarkan dua ahli baru barisan Dream Cars Collection-nya iaitu C-Class Cabriolet dan SLC Roadster.
C-Class Cabriolet
Ditawarkan dalam varian C 200, C 250 dan C 300, model ini juga boleh dikatakan sebagai C-Class Coupe dengan bumbung boleh buka. Bumbung fabriknya boleh dibuka dan ditutup dalam masa 20 saat, pada kelajuan sehingga 50 km/j. Ia didatangkan dalam warna hitam sebagai standard, tetapi juga boleh didapati dalam warna coklat gelap, biru gelap, dan merah gelap.
Ketiga-tiga varian menggunakan enjin 2.0 liter empat silinder dengan transmisi 9G-Tronic yang sama, namun mempunyai tahap kuasa yang berlainan. C 200 Cabriolet mempunyai 184 hp dan 300 Nm, C 250 Cabriolet pula dengan 211 hp dan 350 Nm manakala C 300 Cabriolet mendapat 245 hp dan 370 Nm.
Suspensi C 200 Cabriolet yang terdiri dari spring besi dan sistem ‘damping’ boleh laras membuatkannya 15 mm lebih rendah berbanding C-Class sedan. C 250 Cabriolet dan C 300 Cabriolet pula menampilkan suspensi sport dengan spring yang lebih keras, serta sistem Sports Direct-Steer untuk pengendalian yang lebih mantap.
Seperti model-model yang lain, ciri-ciri pemanduan C-Class Cabriolet boleh ditetapkan melalui sistem Dynamic Select. Selain itu, ia turut menampilkan Attention Assist, Active Brake Assist, Adaptive Brake Assist dan juga Collision Prevention Assist Plus.
Dari aspek penggayaan, C-Class Cabriolet dilengkapi dengan pakej AMG Line dengan rim 18 inci untuk C 200 dan C 250, dan rim 19 inci untuk C 300. C 200 mendapat lampu hadapan LED High Performance, manakala C 250 dan C 300 pula menampilkan lampu LED Intelligent Light.
Harga (atas jalan tanpa insurans) bermula dari RM358,888 untuk C 200, RM388,888 untuk C 250 dan RM443,888 untuk C 300.
SLC Roadster
Dahulunya dikenali sebagai SLK, roadster terbaru ini menampilkan muka hadapan baharu yang dihiasi gril bercorak berlian sebagai standard. Ruang kabinnya juga diperkemaskan dengan panel instrumen baharu dan kemasan aluminium (berwarna gelap atau cerah) dengan corak gentian karbon.
Beroperasi menggunakan sistem elektrohidraulik, bumbungnya boleh dinaikkan atau diturunkan ketika kenderaan bergerak pada kelajuan sehingga 40 km/j. Butnya pula menampilkan pemisah semi-automatik bagi memudahkan bumbung untuk disimpan. Ia juga menampilkan Magic Sky Control, di mana bumbungnya boleh digelapkan atau dicerahkan mengikut keadaan cuaca.
Ia ditawarkan dalam dua varian iaitu SLC 200 dan SLC 300. Kedua-duanya dikuasakan enjin 2.0 liter empat silinder, namun SLC 200 mempunyai 184 hp dan 300 Nm manakala SLC 300 pula mendapat 245 hp dan 370 Nm tork.
Dipadankan dengan kotak gear 9G-Tronic, SLC 200 mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mempunyai kelajuan maksimum 237 km/j. SLC 300 pula hanya memerlukan 5.8 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan mampu memecut sehingga 250 km/j.
Untuk sistem suspensi, kedua-dua varian menggunakan pakej Dynamic Handling dengan damping adaptif dan sistem Direct-Steer. Ia juga menampilkan Dynamic Select dan sistem ekzos sport untuk pengalaman memandu yang lebih mengujakan.
SLC ditawarkan bermula dari RM398,888 untuk SLC 200 dan RM468,888 untuk SCL 300. Harga yang disebut adalah harga atas jalan termasuk GST, tanpa insurans.
No Comment