Ford Mulakan Produksi Ranger di Kilang Ford Thailand
Ford Motor Company mengumumkan bahawa produksi trak pikap Ranger telah dimulakan secara rasmi di kemudahan Ford Thailand Manufacturing (FTM). Ia bagi membantu memenuhi keperluan luar biasa terhadap trak pikap tersebut di rantau Asia Pasifik.
Ranger turut dihasilkan di kilang kerjasama Ford, AutoAlliance Thailand (AAT) yang kekal menjadi kemudahan pengeluaran utama Ford untuk model Ranger di Asia Pasifik.
Memandangkan AAT dijangka beroperasi pada atau hampir dengan kapasiti maksimumnya tidak lama lagi, maka Ford telah membuat pelaburan tambahan sebanyak US$186 juta ke atas kemudahan FTM bagi meningkatkan produksi Ranger.
Ranger ialah trak pikap paling laris Ford di rantau Asia Pasifik. Ia juga menjadi trak terlaris secara keseluruhannya di pasaran New Zealand, Vietnam, Taiwan, Kemboja dan Myanmar. Selain kedua terlaris di Australia, Malaysia dan Filipina.
Sebagai trak pikap nombor tiga di Thailand, Ranger dilihat terus meningkatkan penguasaan dalam segmennya sejak Ranger serba baharu dilancarkan pada tahun 2011. Ini termasuklah menguasai perkongsian pasaran paling tinggi dalam segmen trak pikap pda Ogos dengan lebih 10 peratus.
“Peningkatan volum Ranger akan membolehkan kami memenuhi permintaan pelanggan yang kukuh di seluruh rantau ini terhadap trak Built Ford Tough,” kata Presiden Ford ASEAN, Mark Kaufman. “Pelaburan tambahan kami ke atas FTM juga membuktikan keyakinan terhadap Thailand, serta kualiti bertaraf dunia yang diberikan oleh semua tenaga kerja kami.”
Ford merupakan salah sebuah pelabur automotif terbesar di Thailand. Ia telah melabur lebih US$2.7 bilion ke atas kemudahan-kemudahan pengilangan yang dimiliki sepenuhnya dan pemilikan bersama. Buat masa sekarang, ia menggaji kira-kira 10,000 orang pekerja di Thailand.
Setiausaha Agung Lembaga Pelaburan Thailand (BOI), Hirunya Suchinai berkata, “Bagi pihak Lembaga Pelaburan Thailand, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Ford Motor Company atas peristiwa yang bersejarah ini. Ford terus memainkan peranan penting dalam pembangunan industri aumotomotif kami. Pencapaian terbaru mereka akan membantu mengukuhkan lagi posisi Thailand sebagai peneraju dalam aspek pengilangan dan hab eksport produk automotif di rantau ini.”
No Comment