Pandu Uji: Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D
Kehadiran diesel Euro 5 ke pasaran Malaysia nyata memberi manfaat kepada pelbagai pihak. Para pengguna kini mempunyai pilihan yang lebih baik pada kos yang tidak terlalu mahal manakala pihak pengeluar berpeluang untuk memperkenalkan lebih banyak produk berkuasa diesel masing-masing.
Melihat ini sebagai satu peluang keemasan, Bermaz Motor, pengedar kenderaan Mazda di Malaysia, membuka langkah dengan melancarkan dua model ‘clean diesel’ iaitu CX-5 SkyActiv-D dan Mazda6 SkyActiv-D. Kedua-dua model menggunakan enjin 2.2 liter empat silinder ‘twin turbo’ yang menghasilkan 173 hp pada 4,500 rpm dan 420 Nm pada 2,000 rpm. Kuasa dipacu ke tayar hadapan melalui kotak gear automatik enam kelajuan.
Menurut Mazda, enjin dieselnya tidak sama seperti enjin diesel lain yang terdapat di pasaran. Ini antara sebabnya:
- nisbah mampatan terendah bagi enjin diesel iaitu 14:1 untuk pembakaran lebih lengkap
- menggunakan penyuntik bahan api bertekanan tinggi
- masa pembakaran optimum
- kurang geseran antara bahagian dalaman enjin – penjimatan bahan api sebanyak 20% dan ‘redline’ yang tinggi pada 5,200 rpm
- 10% lebih ringan dengan penggunaan blok aluminium
Dari aspek harga, CX-5 versi diesel dijual pada harga RM166,365, meletakkannya di antara CX-5 2.5 2WD dan 2.5 4WD. Ia didatangkan dengan jaminan selama tiga tahun atau 100,00 km dan pakej penyelenggaraan percuma untuk tiga tahun atau 60,000 km.
Melihatnya dari jauh, anda mungkin tidak dapat membezakan CX-5 diesel ini dengan saudara versi petrolnya. Selain dari lencana SkyActiv-G pada bahagian belakang, SUV ini mempunyai senarai spesifikasi yang hampir sama dengan model CX-5 2.5. Antara ciri-ciri yang disertakan adalah:
- lampu hadapan/belakang LED
- fungsi ‘auto leveling’
- lampu nyalaan siang LED
- lampu kabus hadapan LED
- rim aloi 19-inci
Begitu juga dengan ruang kabin, di mana upholsteri kulit yang dipadankan dengan jahitan merah garang dikekalkan. Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan ciri-ciri yang sama seperti model terdekat seperti:
- butang penghidup enjin
- brek parkir elektronik
- tempat duduk pemandu boleh laras 8-cara
- penghawa dingin dwi zon
- stereng boleh laras tilt dan teleskopik
- cruise control
- skrin sesentuh 7 inci MZD Connect
Namun, tidak seperti varian CX-5 yang lain, CX-5 diesel dilengkapi dengan Blind Spot Monitoring System (BSM), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan juga Smart City Brake Support (SCBS). Penambahan ketiga-tiga ciri ini nyata memudahkan pemanduan harian, terutamanya BSM yang sering kali membantu penulis menukar lorong dan RCTA yang memberi amaran tentang kenderaan lain ketika mengundur.
Pertama kali menekan pedal, penulis dapat merasakan perbezaan kuasa yang ketara antara model ini dan CX-5 2.5 yang pernah dipandu beberapa ketika dahulu. Jumlah tork yang begitu banyak ketika jarum rpm belum pun mencecah tanda 2,000 memberikannya kuasa pecutan memuaskan. Apa yang penting, penggunaan pengecas turbo kecil dan besar berjaya menghapuskan ‘turbo lag’ tanpa menjejaskan bekalan kuasa pada kelajuan tinggi.
CX-5 diesel juga lancar pada kelajuan ‘cruising’ sekitar 100 hingga 120 km/j, di mana pada kelajuan ini, jarum rpm dikekalkan dibawah tahap 2,500 rpm untuk prestasi menjimatkan dan pemanduan yang senyap. Namun, jika keinginan untuk memecut datang, tekan sahaja pedal dan SUV ini akan terus ‘terjaga’ dengan ngauman enjin diesel turbo yang mengasyikkan. Jangan terkejut jika tiba-tiba sahaja jarum speedometer mencecah 200 km/j.
Walaupun kadang kala dilenjan, CX-5 diesel masih menunjukkan tahap penggunaan bahan api yang baik. Perjalanan penulis dari Shah Alam ke Ipoh dan balik melalui lebuh raya Utara-Selatan hanya menggunakan kira-kira separuh tangki, dengan kelajuan purata 120 km/j.
Bukan sahaja berkuasa dan jimat, enjin 2.2L yang digunakan nyata lebih senyap berbanding kebanyakan enjin diesel yang boleh didapati di pasaran negara ini. Ia tidak mengeluarkan bau dan derumannya juga dikekalkan pada tahap minimum walaupun dari luar kenderaan. Dari dalam, bunyinya sering kali ditenggelamkan oleh sistem bunyi SUV ini yang merangkumi enam buah pembesar suara.
Secara keseluruhannya, Mazda CX-5 diesel melambangkan permulaan yang baik bagi Bermaz Motor dalam usaha mereka untuk mengenengahkan produk-produk berkuasa diesel. Enjinnya bukan sahaja menjimatkan, malah cukup berkuasa untuk memberikan keterujaan dalam pemanduan sehari-hari. Bukan itu sahaja, SUV yang sedia praktikal itu turut dimuatkan dengan ciri bantuan pemandu dan keselamatan yang menyeluruh, menjadikannya sebuah kenderaan yang serba lengkap untuk sesiapa sahaja.
Spesifikasi Mazda CX-5 2.2L SkyActiv-D
Enjin: empat silinder, twin turbo
Kapasiti: 2,191 cc
Kuasa: 173 hp, 420 Nm
Transmisi: SkyActiv-Drive enam kelajuan
0-100km/j: –
Kelajuan maksimum: –
Harga: RM166,335 (atas jalan dengan insurans)
No Comment