Pandu Uji Ringkas – Chevrolet Colorado Facelift
Walaupun hanya akan dilancarkan secara rasmi pada minggu hadapan, penulis sudah sempat mencuba Chevrolet Colorado versi facelift dalam satu sesi uji pandu media dari Shah Alam ke Pekan, Pahang.
Tempahan untuk trak pikap itu telah pun dibuka sejak minggu lalu. Ia boleh didapati dalam lima varian iaitu LT (manual), LT (auto) dan LTZ (auto) bagi varian 2.5L; dan LTZ (auto) dan High Country (auto) bagi varian 2.8L. Enjin yang ditawarkan adalah 2.5 liter Duramax Variable Geometry Turbocharger (VGT) dengan 180 hp dan 440 Nm dan 2.8 liter Duramax VGT dengan 193 hp dan 500 Nm.
Bagaimanapun, varian asas dengan transmisi manual hanya didatangkan dengan enjin 2.5 liter Duramax Fix Geometry Turbocharger (FGT) yang menghasilkan 163 hp dan 380 Nm. Terdapat lima warna yang boleh didapati iaitu Summit White, Black Meet Kettle, Switchblade Silver, Pull Me Over Red dan Blue Mountain.
Colorado baharu dijangka akan dijual pada harga bermula dari RM95,000 (tanpa cukai jalan dan insruans) dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 200,000 km. 100 pelanggan pertama yang menempah Colorado akan menerima khidmat penyelenggaraan percuma selama tiga tahun.
Selain dari rekaan segar, Colorado juga menampilkan banyak ciri-ciri terkini yang pastinya dapat menaikkan statusnya di dalam segmen trak pikap tempatan. Bermula dari bahagian luar, Colorado kini mempunyai lampu nyalaan siang LED dan lampu hadapan automatik dengan sistem Follow Me Home.
Ruang kabinnya pula menampilkan rekaan yang lebih eksklusif dan tersusun berbanding model sebelum ini. Varian 2.8L High Country yang dipandu dihiasi dengan upholsteri kulit dengan jahitan di tempat duduk dan papan pemuka serta lencana ‘High Country’ di bahagian panel pintu. Bahan-bahan yang digunakan juga terasa lebih berkualiti pada sentuhan.
Namun, penulis lebih tertarik dengan senarai ciri-ciri baru yang disertakan, antaranya termasuklah Apple CarPlay, yang membolehkan pengguna menggunakan telefon mereka melalui skrin paparan yang disediakan. Sistem ini juga merangkumi Siri Eyes Free dan sistem pengenalan suara.
Selain itu, Colorado juga didatangkan dengan Comfort Closing Windows, pengelap cermin automatik, sensor parkir dengan kamera undur serta Engine Remote Start. Ciri yang tidak terdapat pada mana-mana pikap trak jenama lain ini membolehkan enjin dihidupkan dari luar dengan menggunakan kunci. Selain dari memanas enjin, pengguna juga boleh menggunakan ciri ini untuk menyejukkan kabin terlebih dahulu sebelum memandu dalam cuaca panas.
Memandunya di sepanjang lebuh raya Karak, penulis dapat merasakan kebolehan Colorado dalam mengendalikan selekoh tajam lebih-lebih lagi dengan Electric Power Steering yang dipertingkatkan. Ia kini lebih cepat bertindak balas, dengan pengendalian ringan ketika bergerak pada kelajuan rendah yang memudahkannya untuk diparkir. Pada kelajuan yang lebih tinggi, stereng terasa lebih berat dan stabil.
Penulis bersama wakil media lain juga dibawa masuk ke dalam hutan untuk menguji kebolehan Colorado dalam situasi off-road. Sudah tentu, tork sejumlah 500 Nm pada rpm yang rendah membolehkan halangan-halangan termasuk kawasan berlumpur dan anak sungai ditempuhi dengan agak mudah. Menuruni cerun yang licin juga berjaya dilakukan dengan bantuan sistem Hill Descent Control.
Colorado juga mempunyai kapasiti muatan 1,000 kg, kapasiti menunda 3,500 kg dan kedalaman randuk 800 mm, memberikannya keupayaan untuk pemanduan off-road sebenar.
Ketika melalui permukaan yang tidak rata serta berbatu, bunyi bising akibat hentakan dihalang dari memasuki kabin dengan baik. Di atas jalan raya pula, walaupun bunyi enjin dan transmisi ‘disembunyikan’ dengan baik, bunyi angin boleh didengar dengan jelas namun ini sudah dijangka apabila jarum speedometer melebihi 120 km/j.
Aspek keselamatan Colorado juga dilihat setanding dengan trak jenama lain. Ia merangkumi tiga beg udara untuk semua varian, Front Collision Alert, Lane Departure Warning dan Tire Pressure Monitoring System (TPMS). Traction Control, ABS, EBD, Electronic Stability Control, Hill-start Assist, Anti-rolling Protection dan Trailer Sway Control juga disertakan. Lebih penting lagi, Colorado juga diberi penarafan lima bintang dari ASEAN NCAP.
No Comment