BMW 5 Series 2017 – Sarat Dengan Teknologi Canggih
BMW 5 Series generasi ketujuh telah pun didedahkan dan seperti yang dijangka, rupa paras sedan eksekutif itu saling tak tumpah seperti 7 Series dengan rekaan lampu hadapan, gril dan garis bumbung yang hampir sama. Malah, ia turut menampilkan garis berbentuk kayu hoki yang sama di bahagian tepi badan.
Lawan kepada Mercedes-Benz E-Class ini kini menampilkan platform Cluster Architecture (CLAR) yang pertama kali digunakan untuk 7 Series. Walaupun lebih besar dari model sebelumnya, 5 Series baru adalah 100 kg lebih ringan hasil penggunaan aluminium dan bahan-bahan ringan di bawah konsep Efficient Lightweight
Dengan tambahan ciri-ciri seperti Active Air Stream pada gril, Air Curtain dan Air Breather, ia juga lebih aerodinamik berbanding pendahulunya dengan pekali seretan 0.22 Cd.
Menurut BMW, 5 Series akan didatangkan dalam pelbagai varian yang terdiri dari:
- 530i/530i xDrive – 2.0 liter empat silinder, 252 hp/350 Nm
- 540i/540i xDrive – 3.0 liter enam silinder, 340 hp/450 Nm
- 520d/520d xDrive – 2.0 liter empat silinder, 190 hp/400 Nm
- 530d/530d xDrive – 3.0 liter enam silinder, 265 hp/620 Nm
- 530e iPerformance – 2.0 liter empat silinder dengan sistem eDrive, 252 hp/450 Nm
- 520d Efficient Dynamics Edition – 2.0 liter empat silinder, 190 hp/400 Nm
- M550i xDrive – 4.4 liter V8, 462 hp/650 Nm
Kesemua varian didatangkan dengan transmisi Steptronic lapan kelajuan. Hanya satu kotak gear manual yang ditawarkan iaitu untuk model 520d.
Dari aspek teknologi, 5 Series dengan kod G30 ini membawa iDrive versi terkini yang boleh diakses melalui skrin 10.25 inci di papan pemuka. Head-up Display mempunyai permukaan 70% lebih besar dari sebelum ini dan memaparkan pelbagai info seperti isyarat lalu lintas, senarai panggilan, arahan navigasi, musik dan sebagainya. Ciri-ciri lain yang disediakan termasuklah Microsoft Office 365, Apple CarPlay dan WIFI.
Rangkaian sistem bantuan pemandu 5 Series juga lebih canggih berbanding model sebelum ini. Sedan itu kini menampilkan kamera stereo yang berfungsi memantau keadaan sekeliling kereta dengan bantuan radar dan sensor ultrabunyi. Selain dari Evasion Aid dan Crossing Traffic Warning, Lane Change Assistant dan Lane keeping Assistant dengan Active Side Collision Protection yang membantu pemandu mengelak perlanggaran melalui bantuan stereng.
BMW 5 Series juga maju selangkah ke hadapan dalam aspek pemanduan automatik dengan Active Cruise Control (ACC), dan sistem Steering and Lane Keeping Assistant. Ia juga merangkumi fungsi sekatan kelajuan, di mana Intelligent Speed Assist berkomunikasi dengan ACC.
Lebih menakjubkan, kereta ini juga boleh bergerak dari 0 hingga 210 km/j secara sendiri tanpa sebarang bantuan dari pemandu. Fungsi Start Stop juga diubahsuai supaya bertindak balas dengan keadaan jalan dan trafik untuk pemanduan yang lebih selesa.
BMW juga telah menambah beberapa ciri ConnectedDrive baharu seperti ParkNow yang menyediakan perkhidmatan tempahan dan bayaran letak kereta secara digital, On-Street Parking Information, dan juga Parking Assistant yang berfungsi mengesan tempat letak kereta yang kosong dan memarkirnya secara automatik. Sedan ini juga boleh didapati dengan sistem Remote Parking seperti yang ada pada 7 Series.
No Comment