Penampilan Sulung Range Rover Edisi Terhad Rekaan Piet Boon di Malaysia
Bagi meraikan kerjasama yang sudah menjangkau 10 tahun bersama Land Rover, pereka gaya hidup dari Belanda iaitu Piet Boon hari ini memperkenalkan Range Rover edisi terhad beliau dengan sentuhan peribadinya di Malaysia.
Kerjasama unik antara Land Rover dan Piet Boon bermula dari tahun 2006, di mana Studio Piet Boon telah dipilih berdasarkan falsafah reka bentuk yang mementingkan keseimbangan fungsi, ciri-ciri estetik dan sentuhan peribadi yang merupakan ciri-ciri sesuai dengan nilai jenama, prestasi, kemewahan dan kecemerlangan Land Rover.
Boon menubuhkan studio yang telah memenangi pelbagai anugerah di Amsterdam pada tahun 1983 itu berkata, “Kerjasama dengan Land Rover memang tidak ditelan zaman kerana ia telah berkekalan sehingga satu dekad pada tahun ini. Saya juga gembira melihat revolusi dalam rekaan dan ciri-ciri yang saya perkenalkan untuk Range Rover Sport.”
“Perkara penting yang menjamin kejayaan kerjasama dengan Land Rover adalah nilai yang sama, kepercayaan, persahabatan dan komitmen untuk melahirkan produk dengan kualiti yang terbaik,” tambah pereka yang berpengalaman selama 30 tahun ini.
“Dalam kerjasama khas dengan Piet Boon ini, kami bersetuju untuk Piet Boon memberi sentuhan peribadinya agar ia serasi dengan rekaan produk kami. Seperti yang anda lihat daripada rekaan kereta yang dimiliki oleh Selangor Properties Berhad dan AIRA Residence, satu gabungan harmoni telah dibentuk,” jelas Datuk Aishah Ahmad, Pengarah Urusan Jaguar Land Rover Malaysia Sdn Bhd.
Sejak kali pertama bekerjasama dengan kereta jenama Britain ini, Piet Boon telah mereka dan melancarkan lebih daripada 10 rekaan edisi terhad untuk model-model seperti Range Rover, Defender dan Range Rover Sport serta Evoque. Rekaan yang terkini adalah ‘Last Defender by Piet Boon’.
Selain kerjasama dengan Land Rover, Piet Boon turut bekerjasama dengan jenama lain seperti Miele dan Bang & Olufsen untuk mereka memberikan pengalaman komprehensif serta projek yang mempunyai tarikannya tersendiri. Piet Boon turut mempunyai persetujuan perlesenan dengan 11 rakan kongsi dan antaranya adalah Moooi, Formani, Bod’or dan Warendorf.
Pakar rekaan ini mempunyai portfolio yang luas dengan konsep dan rekaan peribadi untuk hotel, kediaman, ruang pejabat, restoran, bangunan apartmen dan kejiranan di hampir 40 buah negara di seluruh dunia.
Pencapaiannya di seluruh dunia semakin diperluaskan dengan Piet Boon kini membawa sentuhannya ke Malaysia dengan kolaborasi bersama Selangor Properties Berhad (SPB), sebuah syarikat pemaju terkemuka di Malaysia, untuk mereka kondominium mewah AIRA Residence.
SPB mempunyai matlamat untuk menyediakan gaya hidup mewah melalui AIRA Residence, dan ia berjaya dicapai dengan sentuhan Piet Boon dan dua pereka terkemuka di dunia, Franklin Po dari Tierra Design untuk seni bina landskap; dan Alen Nikolovski dari Aedas untuk rekaan seni bina.
Turut memberi penjelasan tentang karyanya untuk AIRA Residence, Boon menjelaskan, “Saya berjaya menggabungkan konsep gaya hidup Timur-Asia yang melibatkan penyelidikan mendalam tentang budaya, gaya hidup serta adat masyarakat Malaysia.”
“Seperti kerjasama dengan Land Rover, matlamat saya adalah untuk menyediakan rekaan dan penyelesaian yang mempunyai ciri-ciri fungsi dan estetik, malah saya gembira kerana berjaya melakukannya, pada masa yang sama mengekalkan identiti Selangor Properties Berhad,” tambah pereka tersebut.Ber
Dinspirasikan oleh Shelby Super Snake Mustang tahun 1967, rekaan eksklusif Range Rover 5.0 liter Supercharged oleh Pien Boon ini dipamerkan di galeri pemasaran AIRA Residence. Ia turut direka khas untuk Selangor Properties Berhad dan berharga RM1.29 juta.
Buat masa ini, satu-satunya cara untuk memiliki kereta edisi terhad ini adalah melalui tempahan khas. Pembeli diberikan peluang untuk melengkapi kereta ini dengan sentuhan peribadi, menjadikan setiap unit eksklusif dari segi rekaan, ciri-ciri dan harga. Sebarang pertanyaan boleh dibuat kepada Sime Darby Auto Connection, pengedar sah kenderaan Jaguar Land Rover di Malaysia, di talian 03-27181780.
No Comment