Pandu Uji – Volvo XC60 T5 & T6 Drive-E
Volvo, nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi terutamanya di kalangan mereka yang mencari kelainan namun tetap mengutamakan kualiti dan prestasi. Namanya mungkin tidak segah pengeluar-pengeluar dari Jerman namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Volvo dilihat semakin giat mengatur strategi bagi mencabar pesaingnya sekaligus membutikan kemampuan mereka dalam menghasilkan kenderaan premium bertaraf tinggi.
Antara percaturan yang telah diambil oleh pengeluar dari Sweden itu adalah dengan memperkenalkan barisan enjin Drive-E pada 2013. Kini, hampir semua model Volvo boleh didapati dalam versi Drive-E, termasuk XC60 ‘facelift’ yang ditawarkan dalam varian T5 (RM266,888) dan T6 (RM298,888).
Perbezaan paling ketara antara kedua-dua varian ini terletak pada tahap kuasanya, di mana XC60 T5 mempunyai 245 hp dan 350 Nm dari enjin pengecas turbo 2.0 liter manakala XC60 T6 pula mendapat 306 hp dan 400 Nm dari enjin 2.0 liter yang menggunakan khidmat pengecas turbo dan supercharger.
Kedua-dua varian menggunakan kotak gear automatik lapan kelajuan dari Aisin yang ditugaskan untuk menyalurkan kuasa ke tayar hadapan. Tidak seperti pada model sebelum ini yang menggunakan enjin Ford, tidak ada varian pacuan semua roda yang ditawarkan pada rangkaian enjin Drive-E.
Selain dari lencana model dan saiz rim – 18 inci untuk T6 dan 17 inci untuk T5 – kedua-dua versi XC60 ini mempunyai penampilan yang sama dengan ciri-ciri standard termasuk lampu projektor Bi-Xenon adaptif, lampu nyalaan siang dan lampu belakang LED serta lampu kabus di bahagian hadapan dan belakang.
Di dalam, kedua-dua XC60 T5 dan T6 menampilkan ciri-ciri standard seperti fungsi pelarasan 8 cara dan memori pada tempat duduk pemandu, kerusi booster untuk kanak-kanak, penghawa dingin dwi zon, butang penghidup enjin dan pencahayaan ambien. Anda juga boleh memilih beberapa tema warna untuk paparan instrumen – merah untuk mod Sport atau biru untuk Eco, contohnya – untuk menghangatkan lagi suasana pemanduan.
Untuk infotainmen, XC60 didatangkan dengan sistem Sensus Connect yang merangkumi skrin sesentuh 7 inci pada konsol tengah dan lapan buah pembesar suara, cukup untuk menghiburkan seisi keluarga ketika dalam perjalanan balik ke kampung.
Dan oleh kerana ia sebuah Volvo, XC60 mempunyai senarai ciri-ciri keselamatan yang serba lengkap. Varian T5 menampilkan ABS/EBD, Stability Control, Blind Spot Information System (BLIS), dan cagak ISOFIX. Varian T6 mempunyai kelengkapan yang sama tetapi ditambah dengan Adaptive Cruise Control, Lane Assist, Active High Beam dan Auto Braking dengan sistem pengesanan pejalan kaki dan pengayuh basikal.
Biarpun dengan berat mencecah hampir 1,800 kg, XC60 mempamerkan pemanduan yang lincah dan cukup bertenaga. Varian T5 mempunyai respon pendikit yang baik, di mana walaupun ia ditekan secara berhabisan, kuasa yang disalurkan tidak begitu keterlaluan, malah hadir dalam cara yang lebih progresif serta berterusan. Jumlah tork yang tersedia dari rpm rendah hingga tahap pertengahan juga cukup tinggi dan ini memberikan SUV ini daya pecutan yang mengagumkan.
Dengan 306 hp pada 5,700 dan 400 Nm seawal 2,100 rpm, varian T6 nyata lebih sesuai untuk mereka yang mahukan prestasi. Secara ringkasnya, versi ini menggunakan supercharger untuk membekalkan kuasa pada rpm rendah manakala pengecas turbo pula akan mengambil alih tugas menghantar udara termampat ke enjin apabila rpm semakin meninggi.
Hasilnya adalah pemanduan yang bertenaga, ditemani dengan deruman empat silinder yang mengujakan. Sama seperti T5, kuasa dihantar dalam jumlah yang tepat dan secara linear ke tayar hadapan dan ini boleh dirasai melalui stereng yang stabil apabila penulis memecut dari keadaan pegun. Walaupun dikatakan mahal serta rumit, teknologi pengecas berkembar mempunyai kelebihan dalam menghasilkan prestasi dan kecekapan bahan api yang seimbang.
Menurut Volvo, varian T5 mampu mencapai tahap penggunaan bahan api serendah 6.7 liter bagi setiap 100 km manakala varian T6 pula, walaupun mempunyai kuasa bertaraf kereta berprestasi tinggi, mampu mencapai 7.3 liter bagi setiap 100 km. Untuk perbandingan, BMW X3 xDrive20i yang hanya mempunyai 184 hp dan 270 Nm mencatat 7.2 liter setiap 100 km.
Juga menarik tentang XC60 adalah kawalan yang stabil dalam pelbagai jenis keadaan. Dengan menggunakan stereng kuasa elektrik, pengendalian terutamanya di kawasan-kawasan sempit seperti tempat letak kereta di pasaraya menjadi mudah. Namun, untuk pemanduan yang agresif pada kelajuan tinggi, kelebihan berpihak kepada varian T6 yang mempunyai sistem stereng sensitif kelajuan.
Dari segi rupa luaran, Volvo XC60 mungkin tidak cukup garang untuk SUV yang mempunyai lebih dari 300 kuasa kuda, namun penulis berpendapat yang ia mempunyai imej kemas dan matang yang mampu memikat golongan sasaran. Ditambah pula dengan teknolgi Drive-E serta ciri-ciri keselamatan yang menyeluruh, XC60 adalah tawaran yang menarik untuk mereka yang mementingkan gaya, prestasi dan praktikaliti.
Spesifikasi Volvo XC60 T5 Drive-E
Enjin: empat silinder, pengecas turbo
Kapasiti: 1,969 cc
Kuasa: 245 hp @ 5,500 rpm
Tork: 350 Nm @ 1,500 rpm
Transmisi: automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 7.2 saat
Kelajuan maksimum: 210 km/j
Harga: RM266,888
Spesifikasi Volvo XC60 T6 Drive-E
Enjin: empat silinder, pengecas turbo dan supercharger
Kapasiti: 1,969 cc
Kuasa: 306 hp @ 5,700 rpm
Tork: 400 Nm @ 2,100 rpm
Transmisi: automatik 8 kelajuan
0-100 km/j: 6.9 saat
Kelajuan maksimum: 210 km/j
Harga: RM298,888
No Comment