Proton Iriz Dinobat Budget Car of the Year 2016
Proton mengakhiri tahun ini dengan satu lagi anugerah, kali ini untuk Iriz yang dinobatkan sebagai “Budget Car of The Year 2016” di anugerah ASEAN Car of the Year 2016 (ACOTY).
“Dengan anugerah yang diterima di “Malaysia Car of the Year Award 2016” baru-baru ini, kami sekali lagi berasa amat terharu dan gembira dengan pengiktirafan ini, terutamanya kerana Iriz dilancarkan dua tahun lalu. Kami telah memuatkan pelbagai ciri di dalam Iriz untuk memberikan pelanggan kami nilai yang lebih baik dan anugerah ASEAN ini merupakan pengiktirafan kepada usaha kami selama ini,” kata Dato’ Ahmad Fuaad Kenali, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.
Diperkenalkan pada September 2014, model kompak ini mendapat penarafan 5-bintang daripada ASEAN NCAP dengan adanya ciri-ciri keselamatan aktif dan pasif pada semua varian termasuk kawalan kestabilan elektronik (ESC) dengan kawalan cengkaman, sistem brek anti-kunci (ABS) dengan kuasa-brek elektronik (EBD), bantuan brek, bantuan kawalan cerun (HHA) dan sistem peringatan pemakaian tali pinggang (SBR).
Proton juga merupakan satu-satunya syarikat permotoran di ASEAN yang menggunapakai teknologi Jerman yang dipanggil Hot Press Forming (HPF) yang boleh mencapai sehingga 5 kali lebih kekuatan dari logam biasa. Ini seterusnya menyediakan struktur badan yang lebih kukuh dan yang lebih penting, menguatkan kabin penumpang untuk perlindungan yang lebih baik.
Iriz dikuasakan dengan enjin VVT empat silinder dalam bentuk 1.3 (Standarad dan Executive) atau 1.6 liter (Executive dan Premium) yang dipadankan dengan kotak gear manual atau transmisi CVT. Ia dijual pada harga dari RM41,520 ke RM62,030.
Bagi bulan Disember ini, Proton menawarkan rebat antara RM2,200 hingga RM4,000 dan juga penyelenggaraan percuma selama dua tahun atau 40,000km untuk semua varian.
No Comment